BANTING – Hari Bersama Media (HBM) merupakan penghargaan kepada pengamal media yang selama ini mendukung Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan liputan berterusan tentang pertahanan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya hubungan yang akrab antara MINDEF dan media cukup penting khususnya dalam menanam sifat patriotisme, cinta dan sayang kepada negara.
Ia kerana media memainkan peranan dalam membentuk kefahaman kepada setiap lapisan masyarakat selain menyebarkan dasar kementerian.
“Media juga perlu bersama-sama membantu MINDEF dan ATM dalam mengangkat agenda pertahanan serta membantu dalam menjelaskan dasar, program serta inisiatif kementerian.
“Saya secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada petugas media yang sentiasa bersama memastikan liputan terbaik serta menyampaikan berita secara profesional dan kreatif.
“Tahniah kepada petugas media yang telah merasai pengalaman 24 jam sebagai anggota tentera di bawah seliaan Pasukan Khas TUDM (PASKAU) sempena HBM dalam usaha sama-sama kita laksanakan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara atas kapasiti masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutup HBM MINDEF Tahun 2024 di Lapang Sasar Batu Hampar di sini hari ini.

Program yang berlangsung selama dua hari itu bermula semalam di Pangkalan Udara Jugra disertai seramai 50 petugas media.
Pada tahun ini, HBM MINDEF Tahun 2024 menggunakan pendekatan ’24 Jam Sebagai Tentera’ melibatkan beberapa aktiviti ketahanan yang menguji tahap kecergasan tinggi petugas media seperti mendaki Bukit Jugra, rentas halangan, sukan tali tinggi, memasak dalam hutan dan cabaran menembak senjata M4.
Semua petugas media dibahagikan kepada lima kumpulan di mana kumpulan Cakra turut disertai wakil MalaysiaGazette yang muncul juara keseluruhan.
Sementara itu, HBM MINDEF Tahun 2024 itu dikoordinasikan bersama Markas Tentera Udara (MTU) sebagai penghargaan MINDEF kepada petugas media yang banyak menyumbang khidmat dan bakti kepada kementerian dan ATM melalui liputan berita dalam membina imej positif.
Program ini juga merupakan aktiviti tahunan MINDEF bagi memberi peluang kepada rakan-rakan media merasai dan melihat dengan lebih dekat perjalanan rutin operasi di pangkalan tentera. – MalaysiaGazette
