KUALA LUMPUR – Program pemutihan pekerja asing sektor pembinaan perlu dilaksanakan dengan kadar segera kerana akan tamat pada 31 Disember 2024.
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berkata, anak syarikatnya Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) telah diberikan peranan sebagai agen pemutihan data pekerja asing.
Program berkenaan khusus kepada pekerja asing yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan telah berada di dalam negara namun masih belum memiliki Kad Pendaftaran Personel Binaan.
“Selaras dengan keperluan dan penetapan Akta 520 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Pindaan 2011) dibawah Seksyen 33 (1) menyatakan – Seseorang tidak boleh terlibat, atau diambil, atau mengaku janji untuk terlibat, atau diambil sebagai personel binaan melainkan jika dia berdaftar dengan Lembaga dan memegang suatu perakuan pendaftaran yang sah yang dikeluarkan oleh Lembaga di bawah Akta ini.
“Pelanggaran terhadap seksyen di atas boleh disabitkan, didenda tidak melebihi RM5,000 kepada majikan dan pekerja binaan,” katanya dalam kenyataan.
Program pemutihan itu adalah bagi Penambahbaikan Tatakelola Pengurusan Pekerja Asing Sektor Pembinaan Dalam dan Luar Negara bagi mengurangkan jurang data pekerja asing antara CIDB dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Cadangan itu telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia (JKB MDNMSM) Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali ke-11 bilangan 2 tahun 2024 yang bersidang pada 20 Mei lalu.
Pendaftaran Kad Pendaftaran Personel Binaan boleh dilakukan dengan menyertai Program Pemutihan Kad Personel Binaan di bawah kendalian Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) dengan melayari http://e-sicwclab.sytes.net/ atau berhubung terus di talian 03-2095 9599 untuk keterangan lanjut.-MalaysiaGazette