Insiden Kapal Diraja (KD) Pendekar karam di perairan Tanjung Penyusop, Johor pada 25 Ogos lalu.

KUALA LUMPUR – Kesilapan pandu arah dan keusangan kapal antara faktor dikesan dalam insiden Kapal Diraja (KD) Pendekar karam di perairan Tanjung Penyusop, Johor pada 25 Ogos lalu.

Laporan itu adalah hasil penelitian yang dilakukan Lembaga Siasatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam kejadian terbabit.

Menurut Markas Tentera Laut, faktor pertama itu dikesan berdasarakan rekod laluan kapal KD Pendekar telah tersasar dari laluan yang dirancang dan terlanggar Terumbu Punggai.

“Seterusnya, faktor keusangan kapan yang melebihi Dasar Kasting iaitu berusia 45 tahun telah menyukarkan kawalan kebanjiran.

“Berikutan itu, kelemahan struktur badan kapal dan mempercepatkan kebanjiran merebak ke bahagian-bahagian lain.

“Usaha menyelamat dan mengapungkan KD PENDEKAR berjaya diselesaikan pada 15 Oktober lalu oleh sebuah firma tempatan dan kapal kini dalam proses pemeriksaan teknikal,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Dalam pada itu, lembaga siasatan juga mengesahkan kematian penyelam TLDM Laskar Kelas I PLM, Arman San Hermansa dalam operasi salvaj KD Pendekar adalah disebabkan lemas.

Katanya, arus yang tidak menentu dan memukul lumpur didasar laut mengakibatkan jarak penglihatan menjadi sangat terhad iaitu sekitar satu kaki pada hari kejadian.

“Keadaan ini meletakkan seseorang penyelam berada pada situasi yang berisiko tinggi dan tekanan kerja yang mencabar.

“Apabila tali keselamatan yang digunakan penyelam didapati tersangkut pada kapal tersebut, langkah kecemasan yang dilakukan mangsa tidak berhasil hingga menyebabkan lemas,” jelasnya.

Tambah Markas Tentera Laut, berdasarkan siasatan, prosedur operasi standard (SOP) penyelaman dan langkah keselamatan telah dipatuhi sebelum tugasan penyelaman dimulakan.

Selain itu, peralatan menyelam yang digunakan disahkan berfungsi dengan baik sebelum dan selepas penyelaman serta mangsa disahkan kompeten untuk menjalankan tugasnya.

“TLDM mengambil serius terhadap dapatan kedua-dua insiden yang berlaku selain keselamatan anggota dan kesiagaan anggota  adalah keutamaan dalam menjalankan tugas dengan sempurna mengikut garis panduan yang ditetapkan,” ujarnya.

Pada 25 Ogos lalu, KD Pendekar dilaporkan karam tenggelam sepenuhnya di posisi dua batu nautika di Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor jam 3.54 petang.

TLDM  memaklumkan, usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan 39 kru KD PENDEKAR sebelum kapal ditenggelami air sepenuhnya dan tiada kecederaan dilaporkan.

Sebelum ini, TLDM memaklumkan kapalnya mengalami kebocoran dan kebanjiran besar dipercayai berpunca dari kapal terlanggar objek bawah air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast