KUALA LUMPUR – Penggubalan akta baharu berkaitan hukuman tahanan di rumah tidak boleh terpakai dalam kes berprofil tinggi termasuk dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sehubungan itu, Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) menuntut kerajaan memberi jawapan dan jaminan Najib tidak akan mendapat keistimewaan tersebut melihat kepada dakwaan kesalahan yang sedang dihadapinya di mahkamah ketika ini.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan permohonan maaf Najib yang dibuat selepas kerajaan mengumumkan akan menggubal akta baharu berkaitan hukuman tahanan di rumah dalam masa terdekat.
“Saya khuatir, saya bimbang sama ada undang-undang tahanan di rumah yang dicadangkan ini adalah digubal bagi tujuan untuk Najib.
“Sekiranya ia digubal untuk Najib, kita perlu faham bahawa kesalahan yang disabitkan terhadap beliau pada masa dulu adalah kesalahan yang amat besar yang telah menjejaskan hala tuju negara ini,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Ramkarpal yang juga seorang peguam menuntut penjelasan sama ada permohonan maaf daripada Najib baru-baru ini boleh dianggap sebagai tindakan menghina mahkamah.
Katanya, ia berikutan Mahkamah Tinggi esok bakal membuat keputusan sama ada Najib perlu membela diri atau dibebaskan daripada 25 tuduhan penyelewengan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Jadi sekiranya seseorang itu memberi public comment (komen umum) berkenaan dengan isu-isu yang dibicarakan dan diputuskan oleh mahkamah, bukankah ini merupakan penghinaan mahkamah?
“Adakah Najib telah melakukan satu perbuatan menghina mahkamah? Ini perlu diperjelaskan, saya selaku peguam mengambil berat tentang perkara ini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan permohonan maaf yang dibuat Najib minggu lalu sebagai tidak relevan memandangkan kes mahkamah yang dihadapi beliau sudah bermula sejak lima tahun lalu.
“Pandangan saya, tiada apa-apa alasan atau sebab untuk permohonan maaf itu dibuat pada masa ini memandangkan kes itu telah bermula lima tahun lalu.
“Kenapa permohonan maaf tidak dibuat sebelum ini sekiranya ia merupakan permohonan maaf yang genuine (ikhlas),” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 berkata, kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.
Mengikut peruntukan akta itu, pesalah dikehendaki berada di tempat yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan. – MalaysiaGazette