MELAKA – Polis Melaka memberkas seorang pengedar dadah lelaki warga Indonesia ketika cuba menyeludup keluar lebih lima kilogram syabu ke negara jiran melalui pesisir pantai berhampiran Kota Syahbandar, di sini, awal pagi semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 5.50 pagi itu, suspek berusia 40 tahun ditahan membawa beg galas mengandungi lima peket lutsinar dadah disyaki syabu seberat 5,053 gram dianggarkan bernilai RM161,696.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (BKSJN) Ibu Pejabat Daerah Alor Gajah.
“Suspek dipercayai bergerak aktif sejak September lalu dan mengaku menyeludup keluar bekalan dadah yang diperolehi dari selatan Thailand itu ke Indonesia melalui laluan laut.
“Hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek yang juga bapa kepada dua anak itu bagaimanapun negatif dadah selain tiada rekod kesalahan lampau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, berat dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 25,265 penagih.
“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 3 November depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 15 kali,” katanya. – MalaysiaGazette