PUTRAJAYA – Sebanyak 245 keluarga pekerja estet bakal memilik kediaman sendiri menerusi Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya di Tanjung Karang, Selangor pada 2027.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, projek terbabit akan melibatkan kos pembangunan keseluruhan yang dianggarkan berjumlah RM75 juta dengan berkeluasan tanah 20 ekar.
“Sejak zaman reformasi 1988 iaitu hampir 26 tahun, isu ini telah membelenggu semua pekerja ladang di Bestari Jaya hingga tiga kali bantahan dilakukan di sini sebelum saya datang, dan akhirnya di ambang Deepavali kerajaan berbesar hati meluluskan merancangan pembangunan PRR Harmoni Madani Bestari Jaya.
“Sebelum ini pelbagai janji telah dijanjikan dan kita berjaya atasinya selepas mencukupkan duit dengan memperoleh peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM40 juta dan Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM35 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Kelulusan Kebenaran Merancang bagi PRR Harmoni Madani Bestari Jaya, Tanjung Karang, di sini hari ini.
Tambahnya, projek PRR akan dibangunkan di atas tanah yang diberikan secara percuma oleh Syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) pula dilantik sebagai agensi pelaksana.
Kor Ming juga memaklumkan majlis pecah tanah PRR Harmoni Madani Bestari Jaya akan dilaksanakan pada Sambutan Pesta Ponggal yang berlansung pada awal Januari tahun depan.
“Projek perumahan mampu milik ini akan memberi keselesaan dan kondusif kepada golongan berpendapatan rendah untuk 245 keluarga pekerja ladang dari lima estet di Bestari Jaya iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Gard, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak.
“Kelulusan projek di Bestari Jaya ini membuktikan bahawa Kerajaan Madani sentiasa berlaku adil dan berpegang kepada janji dan manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu dalam menjadi kenyataan, khususnya kepada keluarga pekerja-pekerja estet yang terjejas,” jelasnya. – MalaysiaGazette