KULAI – Seorang pemuda maut dan rakannya parah selepas motosikal dinaiki kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer (KM) 25 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, kemalangan pada pukul 10.30 pagi itu melibatkan motosikal Honda Beat dengan MPV Perodua Alza.
Beliau memberitahu, semasa kejadian kedua-dua kenderaan menghala ke Kulai.
“Siasatan awal polis mendapati motosikal berkenaan ditunggang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun bersama pemboncengnya berusia 54 tahun.
“Sampai di tempat kejadian motosikal mangsa dilanggar MPV berkenaan yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun.
“Siasatan mendapati MPV berkenaan telah mengubah lorong ke kiri sebelum melanggar motosikal terbabit,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Katanya, akibat kemalangan tersebut, penunggang mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal di lokasi kejadian.
Sementara pembonceng katanya, mengalami kecederaan parah di kepala dan difahamkan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Seng Lee berkata, mayat pula dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk bedah siasat.
Menurutnya, pemandu Perodua Alza pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambah beliau, kes di siassat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut diharap dapat menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Ruslan Mohamed 013-3063710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan,” katanya.- MalaysiaGazette