Keadaan rumah yang di tenggelami banjir ketika tinjauaan udara lensa Malaysia Gazette di Kampung Bangi Lama, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 05 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Selangor mempersoalkan hala tuju rancangan tebatan banjir (RTB) di Selangor memandangkan negeri itu terus berdepan risiko bencana banjir yang semakin teruk saban tahun.

Exco Pemuda Pas Selangor, Muiz Mahyuddin berkata, pelan pembangunan yang tidak dirancang dengan baik selain pengurusan sistem perparitan yang lemah memburukkan lagi situasi banjir di negeri itu.

Tegas beliau, perkara itu tidak sepatutnya berlaku di Selangor yang merupakan negeri termaju di Malaysia, justeru kerajaan negeri didesak lebih proaktif menangani impak banjir tersebut supaya kesannya pada tahap paling minima.

Exco Pemuda Pas Selangor, Muiz Mahyuddin.

Tambah Muiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, musibah banjir pada pada Disember 2021 misalnya, menyebabkan Selangor kerugian RM1 bilion bagi membantu mangsa yang terjejas.

Kos kerugian itu, ujarnya, terus meningkat mengambil kira kerosakan harta benda lain seperti kenderaan, perkakas rumah dan seumpamanya, manakala sebanyak RM400 juta pula digunakan untuk membaik pulih infrastruktur yang musnah.

“Kerugian berskala besar seperti ini dapat ditangani dengan baik sekiranya kerajaan negeri mengambil serius peranannya.

“Untuk rekod, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak lima buah projek tebatan banjir berimpak tinggi di Selangor dengan kos kira-kira RM2.25 bilion.

“Malah, kerajaan negeri turut mempunyai kira-kira 41 projek tebatan banjir dengan peruntukan kos sebanyak RM482 juta.

“Malangnya, sembilan daripada projek tersebut bermasalah akibat tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dakwa beliau, antara projek gagal ialah projek tebatan banjir di Paya Jaras yang mana tempoh yang diberikan untuk menyiapkan projek itu adalah selama 18 bulan bermula 5 Februari 2024 sehingga 4 Ogos 2025.

Namun, katanya, sehingga hari ini, walaupun sudah lapan bulan berlalu, perkembangan projek itu masih 25 peratus sedangkan secara perkiraannya, projek tersebut sepatutnya sudah siap menjangkau hampir 50 peratus.

“Justeru, Dewan Pemuda Pas Selangor berpandangan, sebesar mana pun peruntukan yang diberikan, tetapi sekiranya proses pelaksanaan projek tersebut tidak diberikan perhatian yang serius, maka cita-cita kita untuk menyelesaikan masalah tersebut tidak akan tercapai.

“Maka, mendepani Monsun Timur Laut yang bakal menjelma tidak lama lagi, kita mendesak Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi fokus dan tindakan segera terhadap hala tuju projek RTB ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here