Umar Mokhtar Mohamed, 32, dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan memandu kenderaan secara berbahaya dan menghalang tugas penjawat awam, dua minggu lalu.

MELAKA – Seorang bekas banduan yang baru 14 hari dibebaskan dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya dan menghalang tugas penjawat awam, dua minggu lalu.

Tertuduh, Umar Mokhtar Mohamed, 32, membuat pengakuan itu dihadapan Majistret Khairunnisak Hassni sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Difahamkan, tertuduh baru dibebaskan dari penjara 6 Oktober lalu selepas menjalani hukuman penjara selama enam tahun enam bulan bagi kesalahan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah memandu sebuah kereta dengan keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain Jalan Syed Abd Aziz- Melaka Raya 5, Melaka Raya 12 dan Jalan Tamby Abdullah dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 4.30 petang 20 Oktober lalu.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 hingga maksimum RM15,000 mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020.

Tertuduh juga mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang tugas seorang penjawat awam, seorang pegawai polis dalam menjalankan fungsi jawatannya pada masa dan tarikh sama.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian dan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Zaidi Tahir manakala tertuduh diwakili peguam Nigel Tai.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut mengarahkan tertuduh didenda RM5,900 atau tambahan 125 hari penjara jika gagal bayar selepas mengaku bersalah atas 24 kesalahan trafik sejak 2010 hingga 2015.

Terdahulu, peguam dalam rayuannya memohon tempoh penjara yang minimum kerana anak guamnya merancang untuk memulakan hidup baru dan bekerja untuk menyara ayahnya yang sudah tua.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Khairunnisak menetapkan tertuduh dikenakan hukuman 10 hari penjara dan denda RM6,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar bagi kesalahan memandu secara berbahaya.

Tertuduh turut hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu selama lima tahun dari tarikh sabitan hari ini.

Bagi pertuduhan menghalang tugas penjawat awam, mahkamah membenarkan tertuduh dijatuhi hukuman enam bulan penjara dari tarikh ditangkap 20 Oktober lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast