MTF meraikan sambutan Deepavali bersama anak-anak istimewa di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Vivekananda, Rembau.

KUALA LUMPUR – Yayasan Telugu Malaysia (MTF) yang menjalankan pelbagai acara kebajikan di beberapa lokasi dengan menyantuni rata-rata golongan kurang bernasib baik serta miskin setiap kali menjelangnya sambutan Deepavali.

Presidennya, Datuk R Kantharao Ackunaidu berkata, sambutan Deepavali yang disambut oleh masyarakat India berlangsung dengan meriah dan berwarna warni namun pada masa sama umum tidak seharusnya lupa kepada golongan memerlukan.

Mengambil kira pelbagai aspek termasuk isu kenaikan harga barangan serta masih ramai lagi golongan miskin, MTF mengambil pendekatan melaksanakan program-progam kebajikan dalam beberapa minggu ini.

“Kalau hendak cakap hampir semua MTF seluruh negara aktif, buat program-program kecil dan skala sederhana dengan objektif utamanya mendekati dan membantu golongan memerlukan. Selalunya kita akan adakan upacara sembahyang khas diikuti dengan pemberian sedikit sumbangan pakaian, makanan serta lain-lain.

“Saya sendiri baharu sahaja bersama warga MTF meraikan sambutan Deepavali bersama anak-anak istimewa di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Vivekananda, Rembau. Menitik air mata melihat keperitan ditanggung anak-anak kecil ini.

“Namun mereka terus menjadi teruja melihat kehadiran kita, gembira dengan sumbangan kecil yang diberikan selain jamuan makan dan minum. Sebenarnya Deepavali bermaksud ‘cahaya’, inilah yang kita cuba buat. Cahaya buat mereka, maksud sebenar sambutan ini,” katanya hari ini.

Kata Kantharao lagi, pihaknya amat berharap akan ada lebih ramai lagi tampil terutama pada hari-hari perayaan dan keraian membantu meringankan bebanan masyarakat tanpa kira kaum dan kepercayaan.

“Jika hanya segelintir tampil membantu, maka ia menjadi sukar sebaliknya jika semua tolong menolong terutamanya yang berkemampuan pastinya amalan murni akan membantu lebih ramai di luar sana yang memerlukan kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here