KUALA LUMPUR- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegur Meta kerana masih gagal menangani jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming) khususnya di platform Facebook.
Tegasnya, Meta perlu jauh lebih proaktif dalam membanteras kumpulan-kumpulan di akaun media sosial Meta yang menjurus kepada aktiviti jenayah seksual tersebut.
“Kerajaan MADANI akan terus pastikan platform media sosial tegas dalam menangani jenayah dalam talian demi Internet yang lebih selamat untuk semua terutama kanak-kanak dan keluarga,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Fahmi teguran itu dibuat semasa pertemuannya dengan Pengarah Dasar Awam Meta Asia Tenggara, Rafael Frankel dan pasukan Meta, petang semalam.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Fauzi Md Isa dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Salim Fateh Din.
“Perbincangan kami berkisar kepada kesiapsiagaan semua pihak bagi penguatkuasaan pelesenan platform media sosial dan sistem pemesejan Internet bermula 1 Januari 2025.
Pihak Meta menyuarakan pandangan mengenai pematuhan yang perlu dipenuhi untuk melaksanakan syarat-syarat ditetapkan, termasuk Kod Tatalaku dan Akta Keselamatan Dalam Talian belum mereka teliti sepenuhnya,” katanya lagi.
Tambah Fahmi, beliau turut mengingatkan Meta bahawa niat kerajaan mengenakan lesen itu adalah untuk menangani isu jenayah yang berhijrah ke media sosial, termasuk scam, judi dalam talian, buli siber, dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Bagaimanapun katanya, beliau tetap memberi komitmen untuk mendengar pandangan semua platform media sosial memandangkan lesen yang bakal dikenakan adalah lesen kelas.
Jelas beliau, lesen tersebut dikenakan kepada semua platform yang memenuhi syarat-syarat, termasuk yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia.
Menurut Fahmi, pihak Meta telah bersetuju untuk menyediakan maklum balas kepada draf Kod Tatalaku yang telah diterbitkan pada 22 Oktober lalu.
Tambahnya, perbincangan lanjut dengan MCMC akan diadakan awal minggu hadapan untuk meneliti beberapa aspek dengan lebih terperinci.
“Saya terima baik kesediaan pihak Meta untuk terus bekerjasama dalam isu pelesenan ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette