KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh mencadangkan prinsip konsultasi diterapkan dalam pemilihan parti itu bagi menangani isu perbezaan yang wujud dalam arus kepimpinan parti tersebut.
Jelas beliau, PKR harus memperkenalkan konsep konsultasi itu yang mana paksi atau calon yang kalah tidak akan dilupakan terus dari arus perdana parti.
Ujar beliau, prinsip sama turut diamalkan parti-parti politik lain, justeru PKR perlu membuka mata dan melihat bagaimana ia boleh membantu parti itu dalam merapatkan jurang perbezaan selepas pemilihan.
“Setiap kali pengalaman kita selepas pemilihan, kita selalu cakap `biduk berlalu kiambang bertaut’, tetapi hakikatnya perkara ini tidak berlaku.
“Jadi bagaimana kita nak memastikan kiambang benar benar bertaut? Kita sekarang dah dua tahun lepas pemilihan, masih lagi belum bertaut sepenuhnya. Ini merugikan parti,” katanya dalam wawancara bersama Suara Keadilan seperti disiarkan menerusi laman sosial Facebook Parti Keadilan Rakyat hari ini.
Tambah Fuziah, prinsip konsultasi itu juga adalah lanjutan daripada prinsip keterlibatan demokrasi dan representasi yang diperkenalkan dalam pemilihan PKR sebelum ini.
Jelasnya, dengan memegang kukuh ketiga-tiga prinsip berkenaan, PKR diharapkan akan menjadi parti yang benar-benar demokratik dan menghargai jasa kesemua pimpinan tidak kira lama atau baharu.
Katanya, konsep itu akan menjadi cabaran untuk dilaksanakan pada pemilihan kali ini memandangkan perlu difahami dan diterima oleh semua ahli PKR.
“(Cabarannya) bagaimana kita menyemarakkan prinsip konsultasi di dalam pemilihan itu supaya akhirnya kita dapat wujudkan satu parti yang ada semangat menyemarakkan demokrasi. Roh representasi kaum, keperluan wanita, anak muda.
“Dan akhirnya, bagaimana kita boleh pastikan tidak wujud jurang perbezaan selepas pemilihan itu berakhir,” katanya lagi.
Sebelum ini, Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pemilihan parti itu diadakan segera kerana akan membuka ruang kerjasama antara tenaga muda dengan pemimpin lama untuk berganding bahu menguruskan parti dengan lebih efektif.
Malah, kata Anwar, Mesyuarat Biro Politik PKR beberapa hari lalu juga telah membuat keputusan untuk tidak menangguhkan pemilihan PKR memandangkan tarikh jangkaan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) masih jauh. – MalaysiaGazette