YALA — Seorang guru agama ditembak mati di hadapan rumahnya selepas pulang dari masjid yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya di daerah Muang di Yala, malam Selasa.
Allahyarham Phua-ad Rasaeming, 54 adalah imam Masjid Muhayaerin di kampung Namyen di Lam Mai.
Menurut pihak polis, mereka menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.17 malam.
Tambahnya, pasukan polis, tentera dan pegawai tempatan yang dihantar ke lokasi kejadian mendapati mangsa dalam keadaan terbaring dan sudah tidak bernyawa.
Beberapa kecederaan akibat tembakan turut ditemukan pada badan dan kepala mangsa.
Sekurang-kurangnya 10 kelongsong peluru berjaya ditemukan di lokasi kejadian, kata polis.
Allahyarham yang merupakan pesara polis itu dikatakan sedang menunggang motosikal ketika serangan berlaku.
Menurut polis, mangsa diserang hendap oleh sekurang-kurangnya tiga lelaki yang bersembunyi di dalam gelap sebelum melepaskan tembakan dari senjata api automatik serta senapang patah.
Tambahnya, siasatan masih dijalankan namun tidak dapat dipastikan sama ada serangan tersebut bermotifkan peribadi atau mempunyai kaitan dengan ketegangan di selatan Thai.- Agensi