Onn Hafiz mengetuai kerajaan Johor bertemu delgasi kerajaan Kora Selatan dalam lawatan kerja di negara tetsebut, bermula hari ini.

JOHOR BAHRU – Johor berpotensi menerima pelaburan USD190 juta daripada tiga syarikat terkemuka di Korea Selatan pada masa depan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pertemuan dengan tiga syarikat terbabit sedang dilakukan dalam lawatan kerjanya bersama-sama delgasi kerajaan negeri ketika ini.

Beliau memberitahu, antaranya Hanwha Solution Corporation, syarikat multinasional tersenarai dalam Fortune Global 500 yang terkenal dengan inovasi dalam sektor tenaga bersih dan bahan kimia.

“Selain itu SPC Group, sebuah syarikat makanan global yang memimpin pasaran dengan jenama terkenal seperti Paris Baguette.

“Satu lagi CJ CheilJedang Group, sebuah syarikat pengeluar makanan halal Korea di Malaysia,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik dalam Facebook miliknya hari ini.

Onn Hafiz dan delegasi kerajaan negeri ketika ini dalam lawatan kerja ke Korea Selatan selama beberaoa hari bermula hari ini.

Beliau berkata, selain nilai potensi pelaburan itu, ribuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk Bangsa Johor, limpahan ekonomi dan pembangunan yang bakal dijana.

Jelasnya, keadaan itu sudah tentu akan membawa lebih kemakmuran kepada rakyat Johor.

Menteri Besar Johor berkata, semua syarikat terbabit yakin dengan potensi negeri ini sebagai destinasi pelaburan yang strategik.

“Dengan kedudukan yang kukuh serta sokongan berterusan, Johor bukan sahaja menawarkan peluang perniagaan yang luas, tetapi ekosistem yang kondusif untuk pertumbuhan jangka panjang.

“Semoga segala perancangan dan kerjasama ini dapat direalisasikan dengan jayanya, sekaligus akan menjadikan Johor sebagai destinasi pelaburan pilihan dan pusat strategik di rantau Asia,” katanya.

Menerusi hantaran lain dalam Facebook milikinya, Onn Hafiz bersyukur hari pertama lawatan kerja beliau bersama-sama delegasi kerajaan negeri berpeluang menghadiri seminar membincangkan peluang pelaburan yang boleh diterokai di Johor.

Terutamanya kata beliau, dengan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Seminar Unlocking Regional Growth: Business Opportunities in Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) ini telah menarik penyertaan 83 syarikat Korea terkemuka dari pelbagai industri, menjadikannya platform yang kukuh untuk mempromosikan Johor sebagai pilihan utama bagi pelabur yang mencari destinasi strategik dan mampan.

“Menerusi seminar ini, saya telah berkongsi pelbagai inisiatif strategik yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Kerjasama itu, katanya, mengenai pembangunan JS-SEZ untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi.

“Pelbagai persiapan sedang dirangka dengan teliti mencerminkan keseriusan Johor dalam menjayakan agenda penting ini seperti penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) sebagai one-facilitation centre serta pembangunan Johor Talent Development Council (JTDC) bagi menjayakan agenda JS-SEZ.

“Saya turut menyatakan keyakinan Johor adalah lokasi tepat pelabur mengembangkan perniagaan mereka di rantau ASEAN. Dengan kedudukan strategik serta kewujudan pelbagai insentif menarik ditawarkan JS-SEZ, Johor turut membuka peluang pertumbuhan yang luas serta akses langsung kepada pasaran global, menjadikannya pilihan ideal untuk pelaburan jangka panjang,” katanya.

Beliau optimis Johor akan terus maju dan menjadi pilihan utama para pelabur di pentas global. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here