GEORGE TOWN – Seorang juruukur tanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan cubaan membunuh dua anggota polis pada 25 Oktober lalu.

Tertuduh, Ammar Faris Zainulkifli, 32, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim, Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan niat cuba menyebabkan kematian ke atas Lans Koperal Mas Safiq Azizan Matzrol dan Koperal Mohd Norhasmi Ab Razak yang sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah dengan memandu kereta jenis Honda Civic nombor pendaftaran PFN 5997 dan cuba melanggar mereka.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu di belakang Gurney Plaza, Jalan Kelawai jam 4.50 petang pada 25 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong menawarkan jaminan RM12,000 serta seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan perlu menyara ibunya selain pendapatan bulanan sebagai juruukur hanya RM1,200.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin tempatan serta menetapkan 20 November depan untuk sebutan semula dan lantikan peguam.

ARTIKEL BERKAITAN

Polis lepas dua tembakan, suspek curi kabel TNB diberkas

MalaysiaGazette pada Jumaat lalu melaporkan pihak polis terpaksa melepaskan dua das tembakan untuk menghentikan kenderaan dinaiki suspek kes curi kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas lelaki itu bertindak agresif merempuh kenderaan anggota serta orang awam dalam kejadian di Jalan Kelawai di sini.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, tembakan dilepaskan anggota ke arah tayar bahagian hadapan kenderaan suspek yang sedang bergerak walaupun diarahkan berhenti.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, ketika kejadian suspek berusia 32 tahun itu dipercaya sedang merancang untuk mencuri kabel di Bilik Pencawang TNB berhampiran Plaza Gurney di sini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here