KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terkejut dengan keputusan kes penyelewengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak yang diarahkan untuk membela diri bagi kesemua 25 pertuduhan Disember depan.
Shafee yang mengetuai pasukan pembelaan Najib berkata, beliau tidak menyangka Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah banyak mempertimbangkan keterangan dengar cakap atau ‘hearsay’.
“Kami berasa amat kecewa, anak guam saya sangat kecewa kerana kami telah mengemukakan hujah-hujah yang kami harapkan akan diberi pertimbangan serius.
“Banyak hujah-hujah kami tidak dipertimbangkan secara serius oleh hakim dalam kes ini. Kami rasa banyak bukti telah dipertimbangkan berdasarkan ‘hearsay’.
“Saya sangat terkejut ini mungkin satu-satunya kes yang pernah saya hadapi di mana pada tahap ini saya tidak menang satu pun perkara,” katanya kepada media di lobi kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini selepas keputusan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB membabitkan Najib hari ini.
Namun pada masa sama, Shafee menegaskan, pihaknya menghormati keputusan dan penghakiman mahkamah serta bersedia untuk proses seterusnya, bela diri dijangka bermula pada 2 Disember depan.
Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Terdahulu ketika penghakiman, Collin memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap semua 25 tuduhan terhadap Najib yang juga Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika kesalahan itu didakwa dilakukan. -MalaysiaGazette