KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah menahan reman seorang eksekutif pemasaran salah sebuah syarikat yang ditawarkan projek pembelian baja padi oleh sebuah pertubuhan.
Perintah reman selama empat hari sehingga 2 November ini telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin terhadap suspek, selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, lelaki yang berusia 30-an telah ditahan bagi membantu siasatan ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM lewat petang semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati syarikat tersebut merupakan sebuah syarikat yang tidak aktif (dormain) di Malaysia sejak lapan tahun lepas.
“Walau bagaimanapun, syarikat induknya merupakan sebuah syarikat berpengkalan di negara jiran Singapura. Syarikat terbabit juga dikatakan telah menerima kontrak pembekalan baja berjumlah 15,000 tan atau lebih kurang RM60 juta pada tahun 2022.
“Pemberian kontrak sangat meragukan di mana ia dipercayai dibuat atas arahan pihak tertinggi pertubuhan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah dan diberikan secara runding terus atas alasan pembelian darurat,” katanya.
Tambah sumber, bagaimana kontrak bernilai RM60 juta itu boleh diberikan atas nama syarikat yang telah tidak aktif sejak lapan tahun lepas amat mencurigakan.
Begitu juga keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa atas nama pembelian kecemasan, ujarnya.
Semalam ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan SPRM telah memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi oleh salah sebuah Pertubuhan di bawah Kementerian terbabit.
Kes disiasat dibawah seksyen 16, 18 dan 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
SPRM bongkar kartel projek bekal baja bernilai RM1.8 billion