Malaysia kecam keputusan Parlimen Israel yang mengharamkan operasi UNRWA di Baitulmaqdis, Gaza dan Tebing Barat Foto AFP

KUALA LUMPUR- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya rang undang-undang Parlimen Israel (Knesset) yang mengharamkan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) daripada beroperasi di Wilayah Pendudukan Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Gaza.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini menyifatkan keputusan itu sebagai serangan terang-terangan terhadap Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

https://malaysiagazette.com/2024/10/29/parlimen-israel-luluskan-undang-undang-mengharamkan-unrwa/

“Ia merupakan penempelakan serius kepada masyarakat antarabangsa dan kehormatan sesebuah agensi kemanusiaan antarabangsa.

“Malaysia menegaskan sekali lagi bahawa rejim Zionis Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas Negara Palestin yang dijajah, termasuk Baitulmaqdis, di mana kehadiran UNRWA diktiraf melalui perjanjian antara Palestin dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

UNRWA telah ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan telah memainkan peranan penting dalam menyediakan talian hayat untuk lebih 5.9 juta rakyat Palestin di Palestin dan pelarian Palestin di seluruh Timur Tengah, menyediakan perkhidmatan kritikal dalam pendidikan, perawatan kesihatan dan bantuan kemanusiaan, terutamanya semasa konflik yang masih berterusan.

Wisma Putra turut menyifatkan rang undang-undang itu seolah-olah berniat menghalalkan tindakan rejim Zionis Israel yang sengaja dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa untuk menghapuskan UNRWA.

Katanya, ia merupakan sebahagian daripada strateginya untuk menafikan hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanahair mereka seperti yang didukung oleh Resolusi Perhimpunan Agung PBB 194.

Ia juga sebagai strategi untuk mendatangkan kebuluran kepada mereka yang terselamat daripada bencana kemanusiaan dan genosid di Gaza.

“Malaysia kekal teguh dalam komitmennya menyokong UNRWA. Masyarakat antarabangsa harus mengambil tindakan yang tegas dan segera terhadap rang undang-undang ini demi melindungi UNRWA, dan juga demi menamatkan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here