Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba bagi pendengaran keputusan penyelewengan dana 1MDB dengan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 30 OKTOBER 2024

KUALA LUMPUR – Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika membacakan penghakimannya dalam kes dihadapi Datuk Seri Najib Razak berkata, bekas Perdana Menteri itu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap dana besar ke akaun peribadinya.

Malah dana besar sebanyak AS$681 juta yang didakwa Najib sebagai derma Arab itu dianggap tidak munasabah oleh mahkamah apabila jejak aliran menunjukkan hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang.

Kata Collin, Najib sepatutnya mengambil langkah awal termasuk menghubungi bank untuk mengetahui asal usul dana masuk ke dalam akaun peribadinya.

“Melalui keterangan saksi bank, Najib seperti tidak pernah berhubung dengan bank untuk bertanyakan tentang dana besar masuk ke dalam akaunnya malah pemegang mandat juga mengesahkan penglibatan tertuduh dalam pengurusan akaun itu.

“Tindak tanduk tertuduh (Najib) dalam menerima, menggunakan dan memindahkan dana itu juga relevan mengikut Seksyen 8 Akta Keterangan 1950.

“Mahkamah juga menyimpulkan tertuduh mempunyai pengetahuan tentang 21 pertuduhan penggubahan wang haram bawah seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah

“Aliran jejak wang daripada PetroSaudi International Ltd (PSI) syarikat usaha sama 1MDB, bon terbitan Goldman Sachs dan Aabar Investment PJS yang diperoleh 1MDB telah memasuki akaun bank peribadi tertuduh untuk mewajarkan mahkamah memanggil beliau membela diri.

“Tertuduh juga seperti membutakan matanya dengan tidak menyiasat tentang dana dan transaksi-transaksi ini, sepatutnya beliau siasat asal usul wang masuk ini,” katanya ketika membacakan penghakiman sebanyak 41 muka surat selama hampir dua jam.

Sambung beliau, ia juga memberi peluang kepada pendakwaan untuk membuktikan semua pertuduhan pengubahan wang haram itu.

Hakim juga menyimpulkan Najib sebenarnya mengawal sendiri dan berkuasa kuasa penuh ke atas perbelanjaan akaun bank peribadinya.

Kata beliau, wang yang diperoleh 1MDB daripada pinjaman digunakan bukan untuk kepentingan kerajaan atau negara sebaliknya ia pergi kepada tertuduh dengan masuk ke dalam akaun peribadi untuk faedah sendiri.

“Ini terbukti bahawa tertuduh mempunyai kepentingan dalam 1MDB. Syarikat 1MDB membuat pinjaman, yang tidak membawa manfaat kepada kerajaan dan negara.

“Ini juga mengapa mahkamah tidak nampak sebarang merit dalam keterangan tertuduh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” ujarnya.

Hakim juga menegaskan apabila skandal 1MDB kali pertama meletus, Najib bertindak memecat Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail dan selain membubarkan Pasukan Petugas Khas yang sepatutnya menyiasat insiden itu.

Abdul Ghani kemudian digantikan dengan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang bertindak membebaskan Najib daripada siasatan skandal tersebut serta hanya disiasat semula selepas Barisan Nasional (BN) dan UMNO hilang kuasa.

“Mahkamah juga mengambil maklum keterangan saksi seperti bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Effendi Nazaruddin bahawa 1MDB ditubuhkan untuk kepentingan BN dan UMNO.

“Dana 1MDB sebenarnya lebih kepada tujuan politik dan tertuduh mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut,” tegasnya.

Selain itu, Collin juga menyebut beberapa perkara lain termasuklah keterangan beberapa saksi utama tentang komunikasi lisan antara mereka dengan individu yang sehingga masih gagal dikesan terlibat dalam skandal 1MDB ini.

Saksi-saksi itu ialah bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir, bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu.

Hakim berkata, pembelaan menghujahkan saksi-saksi itu memberi keterangan bersifat dengar cakap kerana mereka mendakwa berkomunikasi dengan individu yang sehingga kini gagal dikesan.

Individu-individu itu pula ialah iaitu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (atau Jho Low), bekas CEO 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil (masih bebas) dan bekas Ketua Setiausaha Sulit Datuk Seri Najib Razak, Allahyarham Datuk Azlin Alias.

Saksi-saksi berkenaan terbukti mempunyai  komunikasi antara saksi dan individu terbabit dibuat dalam urusan seharian.

Mahkamah juga menerima keterangan-keterangan saksi sebagai sah dan utuh ketika beberapa nama ini yang diragui pembelaan seperti bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazarudin dan bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Najib bakal membela diri bermula 2 Disember depan dan Collin yang kini hakim Mahkamah Rayuan telah menetapkan prosiding selama 97 hari hingga akhir tahun 2025 bagi Najib menjawab semua tuduhan berkenaan.

Tarikh yang ditetapkan itu ialah pada 2 hingga 6 dan 9-13 Disember ini, 6-10, 13-17, 20-24 Januari; 10-14, 17-21, dan 24-28 Februari; 3-5, 10-13 dan 24-28 Mac; 7-10, 15-17 dan 21-24 April; 5-9 Mei; 16-20 Jun; 5-8 dan 18-22 Ogos, 8-12 September; 6-10 Oktober dan 3-7 November 2025. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here