Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

PUTRAJAYA – Biar miskin harta tapi jangan miskin minda.

Itu peringatan yang diberikan pemimpin DAP, Nga Kor Ming kepada pemimpin Pas yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengulas dakwaan Ahmad Amzad bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA)yang  bakal dibentangkan tahun depan bakal menindas golongan Melayu di bandar.

“Saya nak gesa ahli parlimen daripada Pas, sila tinggalkan sikap asabiyyah sedemikian. Akta ini akan membawa kebaikan pada semua dan merupakan satu lagi anjakan paradigma untuk pembaharuan atau pembangunan yang mampan,” katanya di sini hari ini.

Pada 4 September lalu, Ahmad Amzad menyatakan kebimbangan mengenai Akta URA yang wajar dibimbangi yang akan mengancam orang Melayu yang menghuni bandar.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah Pas berkata, terdapat empat isu hak orang Melayu berkaitan akta baharu tersebut yang  sensitif dan wajar orang Melayu berasa bimbang.

Empat isu itu, pertama berkenaan dengan pelanggaran hak milik; kedua, penindasan golongan majoriti, ketiga kesan sosial yang negatif dan keempat pula ia mungkin menyebabkan penindanan kepada akta-akta sudah sedia ada.

Sementara itu, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak menegaskan, jelas sekali akta yang bakal diperkenalkan itu akan membawa kebaikan kepada semua.

“Ia tiada ada kaitan langsung khususnya kepada miskin bandar dalam kaum dan mengambil contoh di Kampung Baru, (jikalau) tidak ada akta ini maka bangunan baru tidak boleh dibangunkan.

“Bayangkan Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah bagi saranan, (setiap) bangunan ada riwayatnya di mana bangunan hanya selamat untuk diduduki dalam tempoh 70 hingga 80 tahun.

“Bila bangunan itu dah dikatakan bahaya adakah ahli Parlimen Pas itu nak juga penduduk kediaman terbabit mati akibat daripada bangunan runtuh,” ujarnya.

Pada masa sama, Kor Ming  turut mempersoalkan niat sebenar wakil rakyat terbabit membuat kenyataan seumpama itu.

“Itu sebab saya nak tanya, nawaitu sebenarnya, apa niat sebenarnya. Kenapa keluarkan kenyataan yang berbaur perkauman sebegini? Ini adalah amat dikesali dan jelas sekali tidak berasas,” katanya.

Diminta mengulas kenyataan berbaur hasutan seorang lagi pimpinan Pas dari Perak, Razman Zakaria, Kor Ming memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat.

Ini susulan kenyataan berbaur hasutan yang dibuat pemimpin Pas itu ekoran insiden perarakan mengibarkan bendera negara China di Teluk Intan yang tular di media sosial.

“Kita serah kepada pihak polis,” katanya ringkas.

Pada Sabtu lalu, semasa perhimpunan di Menara Condong Teluk Intan, Razman mendesak supaya semua yang mata, kulit seperti rakyat Malaysia mesti bersatu.

Ia selepas sekumpulan warga China mengibarkan bendera republik itu pada perayaan Guan Gong di Teluk Intan pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, Razman menafikan dia berniat untuk menghina mana-mana kaum dengan kenyataan itu dan mendakwa media telah menyalah tafsir kata-katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here