Seorang pengikut GISBH didakwa atas pertuduhan memperdagangkan 10 kanak-kanak lapan tahun manakala seorang lagi akan didakwa mengikut Akta Pusat Jagaan 1993 dan masing-masing akan dibawa ke Mahkamah Sesyen ATIP dan Mahkamah Majistret Klang. Foto MOHD ADZLAN, 30 OKTOBER 2024.
KLANG – Seorang pengikut GISB Holdings Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mengambil bahagian dalam pengurusan pusat jagaan tidak berdaftar di Bandar Bukit Raja, di sini, bulan lalu.
Tertuduh, Mahani Kassim, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid.
Mengikut pertuduhan, wanita tersebut didapati mengambil bahagian dalam pengurusan pusat jagaan tidak berdaftar dikenali sebagai Pusat Pertubuhan Kebaikan dan Pendidikan Al-mahabbah, Jalan Zafin SD, Bandar Bukit Raja, di sini, kira-kira jam 6.30 pagi pada 11 September lalu.
Wanita itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(1) Akta Jagaan Kanak-kanak 1993 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(2) akta yang sama.
Akta berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh juga boleh dikenakan denda tambahan harian tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan.
Prosiding itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nadia Syuhada Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam Muhd Zaim Rosli.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh masih dalam tahanan Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Majistret seterusnya menetapkan 13 Disember ini sebagai tarikh sebutan kes serta serahan dokumen. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here