KLANG – Seorang pengikut GISB Holdings Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen Antipemerdagangan Orang (ATIP) hari ini atas pertuduhan memperdagangkan 10 kanak-kanak berusia lapan tahun di Shah Alam, bulan lalu.
Tertuduh, Asmat@ Asmanira Muhamad Ramli, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua 10 pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan.
Mengikut pertuduhan, wanita tersebut telah memperdagangkan 10 kanak-kanak berusia lapan tahun bagi maksud eksploitasi di Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari, Kampung Melayu Subang, Shah Alam, pada 11 September lalu.
Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Wanita tersebut juga telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan
Antipenyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum di bawah seksyen
yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebatan.
Prosiding itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi, manakala tertuduh diwakili peguam Muhd Zaim Rosli.
Terdahulu pihak pendakwaan memohon agar kes itu dibicarakan sekali dengan kes lain di Mahkamah Selayang susulan ia melibatkan individu dan transaksi yang sama.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan serius, kes itu memperuntukkan hukuman maksimum dan masih dalam tahanan Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Peguam tertuduh bagaimanapun tidak membantah dengan permohonan bagi kedua-dua permohonan pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 13 Disember ini sebagai tarikh sebutan kes serta serahan dokumen. – MalaysiaGazette