Menteri KPKT, Nga Kor Ming berucap pada Majlis Penyerahan Kelulusan Kebenaran Merancang bagi PRR Harmoni Madani Bestari Jaya, Tanjung Karang di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Kementerian Perumahaan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan dijenamakan semula kepada Program Residensi Rakyat (PRR) bermula tahun hadapan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 September lalu bagi menjadikan kualiti perumahan rakyat setanding kemudahan disediakan Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) Singapura, Jepun dan Korea Selatan.

“PRR ini adalah aspirasi dan penekanan kerajaan ke atas konsep kediaman bersifat bersepadu, kondusif, berdaya huni degan kualiti komersial, dilengkapi dengan pisat aktiviti masyarakat, zon hijau dan sebagainya supaya penduduk PRR dapat meningkatkan rasa kekitaan ke atas perumahan sosial ini.

“Selain itu, penjenamaan semula PRR juga diharap mampu  mengurangkan stigma dan persepsi negatif masyarakat ke atas komuniti PPR sedia ada serta meningkatkan imej program perumahan KPKT.

“Lokasi pembinaan PRR juga akan dikenal pasti di kawasan bandar dan pinggir bandar atau luar bandar dengan menitikberatkan aspek kesalinghubungan, kebolehcapaian, mampan, berdaya huni, dan pergerakkan dengan kemudahan awam,” katanya.

Majlis Penyerahan Kelulusan Kebenaran Merancang bagi PRR Harmoni Madani Bestari Jaya, Tanjung Karang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kelulusan Kebenaran Merancang bagi PRR Harmoni Madani Bestari Jaya, Tanjung Karang di sini hari ini.

Kor Ming juga memaklumkan, PRR di kawasan bandar akan dikekalkan sebagai aset kerajaan untuk disewa disebabkan faktor lokasi yang terhad, nilai tanah yang mahal serta memudahkan pembangunan semula.

Menurutnya,perumahan sosial di kawasan bandar hanya dijadikan sebagai transit tanpa peserta kekal selamanya manakala pembangunan PRR di kawasan pinggir bandar termasuk luar bandar boleh dipertimbangkan bagi tujuan pemilikan.

“Skim PRR juga menampilkan enam elemen penambaikan meliputi penambaikan umum, kawasan PRR, blok PRR, reka bentuk unit rumah PRR, spesifikasi unit PRR, pelaksanaa Q-Lassic serta pensijilan indeks bangunan hijau (GBI).

“Malah terdapat 32 penambaikan turut dilakukan antaranya reka bentuk unit rumah, pemasangan sistem panel solar dan ruang rekreasi luar yang lebih mesra pengguna.

“Selain itu, reka bentuk rumah yang mengoptimumkan pengudaraan yang baik termasuk untuk orang kurang upaya (OKU) serta akses kemudahan masuk yang lebih teratur,” ujarnya.

Tambah Kor Ming, sehingga kini KPKT juga telah menerima sebanyak 32 bidang tanah daripada kerajaan di seluruh negeri yang diserahkan secara percuma bagi pembangunan PRR.

“Dulu sebut pembinaan PPR, KPKT perlu beli tanah dengan membayar premium tanah sahaja sebanyak 30 peratus sahaja sudah hilang. Kini kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri.

“Mana-mana pihak termasuk pihak swasta yang sudi derma tanah dan serah tanah kepada KPKT akan diberikan keutamaan untuk membina PRR dan kos tanah adalah sifar,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan, pihaknya menetapkan kelulusan lantai kasar minimum PRR pada 750 kaki persegi dengan harga jualan adalah RM60,000 seunit bermula tahun 2026/2027.

Ia bagi membantu golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap (seperti bekerja sendiri, peniaga kecil, atau individu yang bekerja di sektor tidak formal) mendapatkan pembiayaan perumahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast