Tiga suspek warga Vietnam yang ditahan bagi kes culik seorang ahli perniagaan pada 13 Oktober lalu, disambung reman tujuh hari lagi di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Tiga suspek warga Vietnam yang ditahan dalam kes culik seorang ahli perniagaan pada 13 Oktober lalu, disambung reman tujuh hari lagi.

Perintah sambung reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah MaTinggi Johor Bahru, Chai Ing Hien berkuat kuasa esok hingga 6 November ini.

Perintah tahanan reman itu membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap semua suspek itu mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1962.

Ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita berusia 30-an sebelum ini telah ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Semalam, mahkamah sama membenarkan tempoh reman terhadap 10 suspek termasuk dua wanita tempatan berusia 30 tahun hingga 50-an yang berakhir semalam, disambung tujuh hari lagi bagi membantu kes berkenaan.

Turut ditahan reman selama tujuh hari adalah seorang lagi suspek lelaki tempatan berusia 30-an yang ditahan di kawasan Senai, kelmarin.

Minggu lalu, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar mengesahkan pihaknya menahan 13 individu berusia antara 23 hingga 58 tahun dalam beberapa siri tangkapan di sekitar negeri ini.

Beliau dilaporkan berkata, seorang daripada suspek yang ditahan adalah ahli keluarga mangsa.

Terdahulu, media melaporkan seorang ahli perniagaan mendakwa dilarikan sekumpulan individu dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi, ketika sedang menunggu perkhidmatan e-hailing di rumahnya untuk ke lapangan terbang bagi urusan perniagaan di luar negara.

Mangsa berusia 59 tahun itu mendakwa dia dibebaskan pada hari yang sama hanya selepas keluarganya membayar wang tebusan berjumlah RM20 juta.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here