Gambar hiasan

Oleh: Profesor Madya Dr. Mohd Izwan Mahmud

DALAM  kehidupan moden, kualiti hidup seseorang sering kali diukur melalui beberapa aspek utama, termasuk kerjaya, keluarga, kesihatan, mindset, dan nilai peribadi. Kerjaya memberikan struktur dan stabiliti ekonomi, sementara hubungan keluarga menjadi sumber sokongan emosi dan kebahagiaan. Kesihatan, baik fizikal mahupun mental, memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesejahteraan keseluruhan, sementara mindset positif membantu seseorang menghadapi cabaran dengan resilien. Nilai-nilai peribadi pula membentuk pandangan hidup seseorang dan mempengaruhi cara mereka membuat keputusan serta berinteraksi dengan orang lain.

Sempena Bulan Kaunseling Kebangsaan 2024 dan Bulan Kesihatan Mental 2024 dengan tema ‘Sudah Tiba Masanya untuk Mengutamakan Kesihatan Mental di Tempat Kerja’. Tema ini menekankan keperluan mendesak untuk memberi perhatian kepada kesejahteraan mental dalam persekitaran kerja, terutamanya setelah peningkatan tekanan dan tuntutan kerja yang dialami selepas pandemik Covid-19.

Keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi mempunyai kaitan yang erat dengan kesihatan mental seseorang. Apabila individu dapat menguruskan masa dan tenaga antara kerja dan tanggungjawab peribadi dengan baik, mereka lebih cenderung untuk mengelakkan tekanan berlebihan yang boleh membawa kepada keletihan mental. Namun, apabila keseimbangan di antara aspek-aspek ini terganggu, individu mungkin menghadapi tekanan yang menyebabkannya mengalami keletihan atau kekecewaan, terutamanya dalam konteks pekerjaan.

Salah satu manifestasi yang semakin mendapat perhatian ialah fenomena ‘quiet quitting’ di mana pekerja melakukan hanya tugas minimum yang diperlukan tanpa melibatkan diri sepenuhnya. Ini bukan sahaja memberi kesan kepada produktiviti kerja, tetapi juga boleh membawa kepada ketidakseimbangan dalam perhubungan keluarga dan kesejahteraan peribadi.

Quiet quitting dalam persekitaran pekerjaan
Dalam konteks pekerjaan, quiet quitting menjadi satu sindrom tindak balas terhadap ketidakseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi. Menurut kajian Gallup pada tahun 2022, hampir 50% pekerja di Amerika Syarikat boleh dianggap sebagai quiet quitters iaitu pekerja yang tidak terlibat secara aktif dalam peranan mereka atau hanya melakukan tugasan yang minimum. Kajian ini juga mendapati hanya 32% pekerja yang benar-benar terlibat dalam kerja mereka secara penuh. Di Malaysia, fenomena quiet quitting semakin mendapat perhatian, terutamanya selepas pandemik Covid-19, yang mana ramai pekerja mula mempertimbangkan semula nilai kerja dan kehidupan mereka.

Berdasarkan penelitian terhadap kajian-kajian mendapati isu ini berpunca daripada beberapa faktor iaitu beban kerja yang berlebihan, kurang atau tiada penghargaan, ketidakseimbangan kerja dan kehidupan peribadi, ketiadaan peluang kemajuan kerjaya, tekanan atau budaya kerja yang tidak sihat, burnout, kekurangan kepimpinan yang menyokong, dan mindset generasi muda tentang kerja.

Terdapat beberapa strategi boleh diaplikasi untuk mengatasi sindrom ini di tempat kerja, antaranya organisasi perlu menggalakkan budaya komunikasi terbuka, di mana pekerja merasa selesa untuk menyuarakan kebimbangan dan keperluan mereka melalui saluran yang betul, maka mereka akan merasakan fleksibiliti wujud dalam persekitaran pekerjaan.

Di samping itu, pekerja diberi peluang untuk meningkatkan perkembangan kerjaya melalui latihan dan pengembangan kemahiran, serta memastikan pengiktirafan dan penghargaan terhadap usaha pekerja, juga penting. Selain itu, organisasi juga perlu mengambil pendekatan yang lebih empati, memahami keperluan keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi, serta mencipta persekitaran kerja yang menyokong dan memberi motivasi. Dengan langkah-langkah ini, organisasi dapat membina keterlibatan yang lebih tinggi dan mengurangkan rasa keterasingan di kalangan pekerja.

Quiet quitting dalam hubungan keluarga
Quiet quitting bukan sahaja memberi kesan kepada pekerjaan, tetapi juga boleh membawa kesan kepada perhubungan keluarga. Apabila seseorang merasa terbeban atau kecewa dengan pekerjaan, tekanan tersebut sering kali terbawa pulang ke rumah. Pekerja yang berhadapan dengan sindrom “quit quietly” sering kali merasa keletihan emosi akibat daripada kekecewaan di tempat kerja. Ini boleh menyebabkan mereka kekurangan tenaga untuk melibatkan diri dalam perhubungan keluarga secara aktif dan mendalam, yang seterusnya boleh merosakkan hubungan dengan pasangan, anak-anak, atau ahli keluarga yang lain.

Quiet quitting dalam hubungan merujuk kepada situasi di mana salah satu atau kedua-dua pasangan menarik diri secara emosi atau mental daripada hubungan tanpa secara rasmi menamatkannya. Ini boleh berlaku dalam bentuk kurangnya penglibatan, pengurangan usaha, atau kesediaan yang rendah untuk berkomunikasi dan berhubung antara satu sama lain. Bagi pasangan, terdapat beberapa tanda yang boleh dikesan awal, antaranya adalah penarikan emosi, pengurangan komunikasi, kekurangan usaha, dan mengelak untuk menyelesaikan konflik.

Penarikan emosi dalam perhubungan sama ada salah seorang atau kedua-duanya tidak menunjukkan keintiman dalam perhubungan, mengelak untuk berkongsi emosi dan sentiasa menjauhkan diri sama ada dari segi fizikal mahu pun emosi. Di samping itu, pasangan juga dilihat kurang usaha untuk memastikan matlamat keluarga ditingkatkan dalam fasa-fasa perkembangan keluarga seperti fasa bulan madu (honeymoon), fasa keluarga dengan anak pertama, fasa keluarga dengan anak kedua, fasa keluarga dengan anak remaja, fasa keluarga dengan anak awal dewasa, dan fasa keluarga terakhir.

Bagi mengelak atau mengatasi sindrom ini memerlukan strategi yang holisitik dalam perhubungan keluarga iaitu intimasi, komitmen dan keghairahan. Ketiga-tiga strategi ini berperanan penting dalam membentuk dan mengekalkan hubungan yang sihat dan memuaskan. Keintiman merujuk kepada kedekatan emosi dan fizikal antara pasangan. Ia adalah asas yang membina hubungan yang kukuh dan saling percaya dengan setiap pasangan mempunyai sempadan yang jelas.

Strategi kedua adalah komitmen yang melibatkan keputusan untuk tetap bersama dan berusaha untuk mengekalkan hubungan. Keupayaan pasangan menetapkan objektif dalam perkahwinan dan bersama-sama mengaharungi ujian dan cabaran merupakan asas kepada komitmen yang tulen. Komitmen memerlukan kesetiaan kepada pasangan, yang melibatkan kejujuran dan kepercayaan. Strategi ketiga adalah setiap pasangan perlu mengekalkan keghairahan yang melibatkan rasa daya tarikan fizikal dan emosional yang kuat antara pasangan.

Ini sering kali menjadi penyebab utama hubungan romantis dan memberikan semangat kepada cinta. Keghairahan biasanya bermula dengan daya tarikan fizikal yang kuat. Misalnya, mengalami situasi yang baru dan mencabar bersama boleh meningkatkan keghairahan. Aktiviti seperti bercuti, mencuba hobi baru, atau menghadapi cabaran bersama boleh mencipta kenangan indah yang meningkatkan keghairahan.

Quiet quitting adalah fenomena yang mencerminkan rasa kecewa dan keletihan yang dialami oleh pekerja, tetapi kesannya boleh melangkaui tempat kerja dan menjejaskan perhubungan keluarga. Untuk memupuk keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi, perlu ada pendekatan holistik yang melibatkan pekerja, majikan, dan keluarga. Sokongan di tempat kerja melalui sokongan sosio-emosi yang disediakan mampu untuk mengatasi dan mengurangkan sindrom ini daripada menjejaskan kesihatan mental seseorang.

Perkhidmatan kaunseling yang disediakan bukan hanya tertumpu terhadap isu-isu dalam pekerjaan semata-mata tetapi perlu juga merangkumi isu-isu berkaitan peribadi dan keluarga. Justeru itu, keseimbangan kerjaya dan keluarga menjadi asas kepada perkembangan diri seseorang pekerja yang bermotivasi tinggi dan akhirnya menyumbang terhadap prestasi individu dan produktiviti organisasi.

 

Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast