BANGI – Wakil rakyat sepatutnya menjadi terkenal atau popular kerana tindakan-tindakan mereka yang memberi manfaat kepada masyarakat bukannya sebaliknya.
Walau bagaimanapun, Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau Lando Zawawi tidak menafikan ada juga wakil rakyat yang terkenal kerana janji kosong yang ditabur.
“Popular ini ada kau buat (sesuatu) yang jadi positif. Ada kau buat jadi popular negatif… Ada Ahli Parlimen janji-janji (hapus hutang) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pun popular juga, (tapi) popular perkara yang tidak jadi,” katanya ketika menjadi salah seorang panel ‘Platform MG Siri 4: YB Muda Buat Kerja Atau Sekadar Popular?’.
Program berkenaan berlangsung di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), malam tadi.
Selain Lando, tiga lagi panel adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, ADUN Kota Siputeh Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir dan Pensyarah Kanan Program Sains Politik, Dr Jamaie Hamil.
Menurut Lando, media sosial yang digunakan wakil rakyat untuk menaikkan populariti dari aspek positif patut dihargai.
“YB ini (ADUN Duyong dan Kota Siputeh) buat berdasarkan apa tindakan yang mereka mampu. Sebolehnya mereka tunjukkan mereka kerja tidak ada masalah, kita kena faham tugasan mereka kerana mereka ini wakil rakyat akar umbi,” katanya lagi.
Sementara itu, Lando menafikan menjadi aktivis untuk meraih populariti tetapi apa yang dilakukannya adalah menyerang sistem yang menyusahkan rakyat berdasarkan aduan.
Bukan mahu melangkaui tugas wakil rakyat namun Lando berkata beliau ingin aduan disalurkan di platform yang sepatutnya dengan tindakan yang segera.
“Sebenarnya saya langsung tidak bertujuan langgar (lawan) mana-mana Yang Berhormat (YB) atau Ahli Parlimen. Saya hanya serang sistem. Saya hanya serang sistem. Kalau agensi nak berdepan dengan orang kampung minta bantuan (sukarlah), kita di Brotherhood lawan sistem berdasarkan aduan.
“Kenapa saya lawan sistem dan Pihak Berkuasa Tempatan? Saya ni boleh digelar Datuk Bandar satu Malaysia untuk jalan raya, sebab apa saya lawan, sebab jabatan sudah ada peruntukan, hala tuju, ada matlamat tapi masih nak kena tendang masih nak kena ketuk,” tambahnya.- MalaysiaGazette