Orang Kurang Upaya (OKU) sebuk melakukkan kerja-kerja penghasilan produk rotan untuk di jual kepada pengunjung ketika tinjaun lensa Malaysia Gazette di Jaro, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 06 SEPTEMBER 2023.

Oleh: Ts. Inv. Mahmod Abd Hakim Mohamad

BERDASARKAN laporan Jabatan Perangkaan Malaysia 2024, seramai 674,548 orang kurang upaya (OKU) atau dua peratus daripada penduduk negara, telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2022. Dari jumlah ini, kategori OKU fizikal mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 36.3%, diikuti oleh masalah pembelajaran (35.1%) dan masalah penglihatan (8.8%). Pendaftaran terendah adalah dalam kategori masalah pertuturan (0.5%). Dalam sektor pekerjaan, penjawat awam OKU yang berkhidmat pada 2022 mencapai 3,724 orang, meningkat sedikit dari tahun sebelumnya. Di sektor swasta pula, terdapat 3,186 pekerja OKU pada tahun yang sama, meningkat lebih daripada dua kali ganda berbanding 2021.

Dari segi ekonomi, isi rumah dengan ahli OKU memiliki pendapatan bulanan median RM4,390 dan purata RM5,679, sementara perbelanjaan purata adalah RM3,974. Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, menyatakan peratus OKU berdaftar di Malaysia lebih rendah dari purata global yang dianggarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 16 peratus. Sumbangan warga OKU dalam kalangan staf akademik di universiti merupakan satu inspirasi yang luar biasa dalam memajukan prestasi institusi pendidikan. Kesihatan dan takdir mungkin mempengaruhi perjalanan hidup mereka, namun kesedaran tentang kelebihan unik yang dimiliki warga OKU perlu diangkat.

Persepsi manusia tidak sempurna membuka ruang untuk kita menghargai bakat dan kemampuan yang berbeza, menjadikan warga OKU bukan sebagai beban, tetapi satu kelebihan. Adalah penting untuk menyediakan laluan yang adil kepada mereka, memberi peluang untuk membuktikan kebolehan serta menyediakan kemudahan yang menyokong keperluan mereka. Prinsip ‘sediakan payung sebelum hujan’ menggambarkan keperluan merancang dan menyediakan infrastruktur serta sokongan yang tepat agar mereka dapat berfungsi dan menyumbang tanpa halangan. Dasar negara yang jelas dalam melindungi hak OKU juga memberi jaminan bahawa mereka tidak dipinggirkan, dan terbukti tiada amalan dua nilaian dalam layanan kepada mereka.

Majikan di institusi akademik harus mengiktiraf bahawa bakat dan kemampuan warga OKU adalah setanding dengan orang lain, jika diberikan peluang yang sama. Mereka adalah inspirasi kepada orang lain, menunjukkan bahawa tiada alasan untuk tidak berjuang demi kejayaan dalam hidup. Warga OKU bukan sahaja memberi sumbangan yang signifikan kepada kemajuan universiti, tetapi juga emberikan teladan kepada masyarakat bahawa segala cabaran boleh diatasi dengan usaha, sokongan dan kesungguhan. Institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia kini semakin komited dalam mewujudkan persekitaran yang inklusif bagi semua golongan, termasuk warga staf akademik daripada golongan OKU. Mereka tidak hanya memainkan peranan penting dalam pembangunan akademik, tetapi turut menyumbang kepada peningkatan kemajuan universiti dari pelbagai aspek. Berikut adalah beberapa sumbangan besar yang diberikan oleh warga staf akademik OKU kepada kemajuan universiti.

Penjanaan penyelidikan berinovasi

Warga akademik daripada golongan OKU sering kali mendemonstrasikan kebolehan luar biasa dalam bidang penyelidikan. Kehadiran mereka dalam bidang akademik membuka ruang bagi penyelidikan inovatif yang menekankan penyelesaian terhadap isu-isu berkaitan OKU, seperti teknologi bantu, pendidikan inklusif serta kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih mesra OKU. Sumbangan ini bukan sahaja memajukan bidang ilmu tersebut, malah memberi impak besar dalam memperkasa komuniti OKU di luar kampus.

Beliau yang dimaksudkan ialah Iran Shah Ramatullah, seorang guru berstatus OKU penglihatan, mencipta inovasi “Braille Magic Cell” yang menggunakan bekas telur dan bola ping pong untuk memudahkan pelajar pendidikan khas mempelajari tulisan Braille. Inovasi ini memenangi tempat pertama kategori individu pendidikan khas dalam pertandingan akhir 3-Minute PdP Pitching anjuran Kementerian Pendidikan (KPM). Beliau menjelaskan alat ini membantu pelajar mengenal huruf dengan mudah sambil melatih pergerakan jari.

Noorhasliza Mohamad dari SMK Sultan Sulaiman, Terengganu pula memenangi kategori berkumpulan dengan inovasi “Kit Abang Sado” yang diperbuat daripada bahan kitar semula untuk membantu pelajar memahami struktur lengan manusia. Pertandingan ini, disokong oleh Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, bertujuan menggalakkan guru mencipta inovasi demi meningkatkan kualiti dan daya tarik pengajaran di bilik darjah.

Pembentukan budaya inklusif
Salah satu sumbangan terbesar golongan OKU dalam IPT adalah usaha mereka dalam membentuk budaya universiti yang lebih inklusif. Kehadiran mereka sebagai pensyarah, penyelidik, dan staf sokongan akademik memupuk kesedaran dalam kalangan warga universiti mengenai kepentingan kesamarataan peluang dan kebolehsampaian. Ini seterusnya memperkaya nilai-nilai kemanusiaan dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan pelajar dan staf universiti.

Oleh itu, kesempurnaan sebagai manusia merupakan anugerah yang subjektif, yang mana kebahagiaan dan kesempurnaan boleh berbeza bagi setiap individu. Bagi golongan OKU di Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan Akta OKU 2008 untuk melindungi hak mereka, disertai pelbagai kemudahan sokongan. Usaha ini ditambah dengan inisiatif pendidikan seperti Dasar Inklusif OKU di Institusi Pengajian Tinggi pada 2018, bertujuan untuk menyediakan layanan yang setara kepada pelajar OKU dengan memastikan akses pendidikan tanpa diskriminasi.

Di Universiti Malaysia Sabah (UMS) khususnya Pusat Pengurusan OKU (PPOKUMS) telah memainkan peranan aktif dalam menyediakan kemudahan inklusif sejak 2020. UMS menyediakan pelbagai kemudahan seperti laluan khas, tandas OKU, tempat letak kereta khas, bahan bacaan braille, serta kemudahan kolej kediaman mesra OKU bagi memastikan kesejahteraan pelajar OKU. Kelab Mahasiswa OKU turut menjadi wadah bagi pelajar OKU di UMS untuk berinteraksi dan merancang aktiviti bermanfaat.

Sementara itu, latihan kesedaran seperti ‘Disability Awareness Training’ diberikan kepada pegawai yang ditugaskan untuk mengendalikan isu OKU, dengan sokongan penyelidikan untuk meningkatkan perkhidmatan. Usaha inklusif UMS juga melibatkan sokongan pihak pengurusan universiti untuk memastikan dasar inklusif OKU ini berterusan ke arah kemajuan dan kesejahteraan komuniti OKU di kampus.

Inspirasi dan pemangkin kepimpinan
Golongan akademik OKU sering kali menjadi inspirasi kepada pelajar, terutamanya mereka yang turut berhadapan dengan cabaran fizikal atau mental. Melalui pencapaian akademik dan profesional mereka, golongan ini membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukanlah penghalang untuk mencapai kecemerlangan. Kepimpinan mereka dalam mengharungi pelbagai cabaran turut mencerminkan daya ketahanan dan inovasi yang menggalakkan pelajar untuk mencontohi dan meneruskan perjuangan mereka. Salah satu portal berita online turut mengulas mengenai seorang ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Ruzita Mohd Amin yang merupakan tokoh inspirasi dalam memperjuangkan hak pelajar OKU di Malaysia.

Sebagai individu yang terkesan oleh polio sejak kecil, Ruzita telah melalui pelbagai cabaran, termasuk kesulitan untuk mendaftar sekolah dan kekurangan kemudahan mesra OKU di institusi pendidikan. Pengalamannya di Amerika Syarikat telah membuka matanya terhadap perkhidmatan yang diperlukan untuk golongan OKU dan menyemarakkan usahanya untuk membawa perubahan di Malaysia.

Di UIAM, Ruzita memimpin Unit Perkhidmatan OKU (DSU), yang ditubuhkan pada 2012, untuk menyediakan akses yang setara kepada pelajar OKU dalam pendidikan tinggi. Unit ini memberi bantuan seperti kerusi roda dan pengubahsuaian kediaman serta mengadakan program kesedaran melalui Kelab Ibn Ummi Maktum (IMaC). Ruzita juga terlibat dalam usaha ke bangsaan untuk memperkenalkan ‘Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif OKU’ di institusi pengajian tinggi. Selain memperjuangkan keperluan fizikal, beliau berusaha mengubah pandangan masyarakat dan melatih pelajar untuk menjadi pejuang hak OKU.

Ruzita menekankan pentingnya penerimaan terhadap pelbagai kategori OKU, termasuk mereka yang kelihatan normal secara fizikal tetapi menghadapi cabaran kesihatan mental atau pembelajaran. Bagi Ruzita, perjuangan untuk hak OKU bukan hanya di universiti, tetapi juga di peringkat nasional demi meningkatkan empati dan inklusiviti dalam masyarakat.

Selain itu, seorang mahasiswi UIAM, Zahirah Zulkifli, lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial, adalah salah seorang pelajar OKU yang mendapat sokongan daripada Profesor Ruzita Mohd Amin di UIAM. Dengan bimbingan dan bantuan Ruzita, Zahirah berjaya meyakinkan ibunya untuk membenarkan dia menggunakan kerusi roda bermotor, yang memudahkannya bergerak dan memberi lebih kebebasan dalam kehidupan harian. Zahirah turut memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran tentang hak dan kepentingan komuniti OKU di kampus UIAM, di samping memperkasa diri untuk menghadapi cabaran sebagai seorang pelajar OKU.

Sumbangan kepada dasar pendidikan
Warga akademik OKU juga banyak menyumbang dalam merangka dasar-dasar universiti yang lebih mesra OKU. Mereka memainkan peranan penting dalam memberi input dan cadangan terhadap inisiatif dan dasar universiti, khususnya dalam usaha menjadikan universiti sebagai sebuah persekitaran yang lebih inklusif dan responsif kepada keperluan pelajar serta staf OKU. Melalui penglibatan mereka dalam jawatankuasa dan badan penggubal dasar, mereka membantu universiti dalam menyusun strategi yang lebih baik untuk mempromosikan pendidikan tanpa halangan. Dasar satu peratus pengambilan
penjawat awam kategori OKU dalam sektor awam sedang dikaji semula untuk meningkatkan pelaksanaannya, setelah sasaran tidak tercapai dalam tempoh 10 tahun sejak 2014.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa antara punca utama kegagalan ini ialah jumlah permohonan pekerjaan daripada calon OKU yang masih rendah, iaitu tidak mencapai satu peratus daripada keseluruhan permohonan. Kajian mendapati penjawat awam OKU menghadapi cabaran seperti keterbatasan upaya, tekanan kerja dan kekurangan sokongan serta kemudahan. Statistik menunjukkan peningkatan pengisian jawatan OKU dalam sektor awam, namun masih rendah: dari 0.23% pada 2014 hingga 0.3% pada 2023. Wilayah Persekutuan mencatatkan pengisian lebih baik, mencapai 0.5% atau sekitar 10,000 penjawat awam OKU, termasuk di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Dr. Zaliha turut menyokong cadangan meningkatkan penyertaan OKU dalam pelbagai agensi kerajaan, termasuk Parlimen.

Pembangunan teknologi untuk OKU
Sumbangan golongan akademik OKU dalam pembangunan teknologi pendidikan tidak boleh dipandang remeh. Kepakaran mereka dalam memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan OKU memberikan perspektif unik dalam pembangunan alat bantu yang lebih efektif. Sebagai contoh, warga akademik ini terlibat dalam penghasilan perisian atau alat bantuan fizikal yang memudahkan pembelajaran pelajar OKU di IPT, sekali gus memajukan teknologi pendidikan negara. Malaysia telah melaksanakan inisiatif penting dalam memartabatkan hak dan kesejahteraan golongan OKU, termasuk melalui Dasar OKU dan Pelan Tindakan OKU 2016-2022 yang menyasarkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menyokong kemajuan OKU. Di peringkat global, produk seperti On the Move Pads di AS, Kerusi Oto di Perancis, dan Annie di India telah menunjukkan bahawa teknologi mampu mempertingkat kesejahteraan OKU.

Malaysia juga giat membangunkan penyelesaian tempatan, seperti tangan prostetik dari ADTEC Pahang dan Handroid-Sign Language Translator oleh UTEM yang membantu komunikasi OKU pekak dan bisu. Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pula mengembangkan ekosistem mesra OKU melalui produk seperti Physio-Treadmill (PhyMill) untuk terapi kanak-kanak palsi serebrum dan PhyWalk, alat bantu berjalan. Produk AutiSQUEEZ dan AutiSORT pula menyokong kanak-kanak autisme melalui latihan deria dan permainan interaktif. Komitmen UMPSA dalam projek ini selari dengan matlamat untuk membudayakan teknologi inklusif di peringkat institusi dan masyarakat.

Kerajaan turut memperuntukkan RM1.2 bilion dalam Bajet 2023 untuk inisiatif OKU, dan Kementerian Kesihatan Malaysia terus menyokong penyelidikan ini dalam memastikan OKU menerima perkhidmatan kesihatan terbaik. Komitmen ini, bersama dengan penyelidikan dan inovasi tempatan serta kerjasama komuniti, mencerminkan sokongan berterusan terhadap hak OKU di Malaysia, menjadikan mereka sebahagian penting dalam pembangunan masyarakat.

Pengiktirafan negara terhadap tokoh akademik kategori OKU 2024
Beliau yang dimaksudkan ialah Profesor Dr. Zaidi Embong, seorang pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang menghidap penyakit muscular dystrophy, telah dianugerahkan Anugerah Tokoh Pekerja Negara bagi kategori OKU sempena Sambutan Hari Pekerja 2024 di Putrajaya. Pada usia 52 tahun, beliau yang berkerusi roda terus mendedikasikan dirinya dalam mendidik anak bangsa walaupun pergerakannya terhad akibat penyakit yang telah dialaminya sejak dua dekad lalu.

Dr. Zaidi, yang merupakan pensyarah di Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi UTHM, sanggup memandu sendiri sejauh 140 kilometer setiap hari dari rumahnya di Ayer Hitam ke UTHM cawangan Pagoh, Johor. Beliau menekankan bahawa golongan OKU mempunyai kelebihan tersendiri dan mampu memberi sumbangan besar kepada masyarakat jika diberikan peluang yang sewajarnya. Tambahan lagi, beliau menggesa OKU untuk berani dan meningkatkan keyakinan diri.

Pembinaan rangkaian komuniti OKU
Warga akademik OKU sering menjadi jambatan penghubung antara universiti dan komuniti OKU di luar. Melalui pelbagai program komuniti dan seminar, mereka aktif dalam mempromosikan inklusiviti dan membuka ruang kerjasama antara universiti dan organisasi OKU. Sumbangan ini memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat luar, terutamanya dalam usaha meningkatkan peluang pekerjaan dan kebolehpasaran golongan OKU.

Kerajaan disaran menilai semula Pelan Tindakan OKU yang akan tamat tahun depan dan merangka pelan baharu bagi tempoh 2023-2030 yang lebih fokus. Datuk Ras Adiba Radzi, Ahli Dewan Negara mewakili OKU, mengemukakan 16 cadangan bagi memperkasakan komuniti OKU di Malaysia. Cadangan utama termasuk menaik taraf Jabatan Pembangunan OKU sebagai jabatan penuh, meminda Akta OKU 2008 dengan elemen penguatkuasaan, memperkenalkan insurans khas dan menubuhkan Yayasan Pembangunan OKU Malaysia.

Beliau juga mencadangkan penambahan kategori OKU untuk penyakit jarang jumpa dan albino, peruntukan khas Belanjawan 2022, serta pemberian geran kepada NGO untuk membantu OKU di kawasan luar bandar. Ras Adiba berharap agar kerajaan dapat melaksanakan cadangan ini dalam tempoh 100 hari dan mempercepatkan proses pendaftaran OKU, memandangkan hanya 580,633 OKU berdaftar dengan JKM berbanding anggaran WHO yang menjangkakan 15 peratus daripada populasi sesebuah negara adalah OKU.

Kesimpulannya, warga akademik IPT daripada golongan OKU memberikan sumbangan yang signifikan dalam memajukan universiti, bukan hanya dalam konteks akademik, tetapi juga dalam aspek sosial dan kebajikan komuniti. Peranan mereka sebagai penyelidik, pemimpin, dan pelopor teknologi bantu telah membantu menjadikan universiti sebagai persekitaran yang lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan pelajar dan staf OKU. Sumbangan mereka wajar dihargai dan dijadikan inspirasi untuk terus memajukan bidang pendidikan tinggi di Malaysia.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast