Anggota penguatkuasa DBKL mengangkut barang-barang yang dirampas daripada gerai yang dipercayai dimiliki warga asing dalam satu operasi yang dijalankan di Jalan Kepong Lama berhampiran Pasar Jalan Ipoh, di sini semalam. Gambar: Facebook DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita empat gerai penjaja dipercayai milik warga asing dalam satu operasi yang dijalankan di Jalan Kepong Lama berhampiran Pasar Jalan Ipoh, di sini semalam.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi Facebook memaklumkan, operasi dilakukan Jabatan Penguatkuasaan DBKL bersama Pejabat DBKL Cawangan Batu.

DBKL mengangkut barang-barang yang disita.

“Tindakan khas dijalankan terhadap penjaja warga asing di sekitar Jalan Kepong Lama berhampiran Pasar Jalan Ipoh dan hasil daripada tindakan khas itu, sebanyak empat gerai penjaja warga asing dikenakan tindakan sita serta-merta.

“Sitaan dijalankan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” katanya.

Menurut DBKL, semua barangan yang disita dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi.

Tegasnya, DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti.

Sehubungan itu, sebarang aduan daripada orang awam bolehlah menghubungi atau menyalurkan maklumat di pautan https://adukl.dbkl.gov.my. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast