JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 50 warganegara asing di tiga daerah dalam operasi bersepadu pada 28 dan 29 Oktober lalu.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, menerusi operasi Ops belanja, Ops Selera dan Ops Sapu di kawasan hotspot di Batu Pahat, 10 warga asing dan dua majikan ditahan.
“Operasi yang bermula pukul 3.30 petang hingga 11 malam yang dilakukan Unit Penguat Kuasa Cawangan Batu Pahat JIM Johor adalah tindakan susulan aduan awam.
“Aduan tersebut berhubung warga asing yang dipercayai bekerja tanpa pas dan permit yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, dalam operasi itu sebanyak 12 premis dan 38 warga asing serta warga tempatan diperiksa.
Mereka yang ditahan katanya, melibatkan tiga lelaki dan empat wanita warga Myanmar, seorang lelaki Pakistan, seorang lelaki Bangladesh serta seorang wanita Pakistan, seorang lelaki Bangladesh serta seorang wanita Indonesia berusia 22 hingga 40 tahun.
Beliau berkata, serbuan kedua menerusi Ops Mahir dilakukan di kilang cetak dan kilang jahit pakaian di Taman Mewah, Johor Bahru pukul 12 tengah hari, pada 29 Oktober lalu.
Menurutnya, 28 warga asing dan warga tempatan diperiksa dan mereka yang ditahan melibatkan 11 lelaki dan empat wanita Indonesia, tiga lelaki Bangladesh masing-masing berusia 22 hingga 48 tahun.
Sementara serbuan ketiga menerusi Ops Bersama di sekitar Iskandar Puteri antara pukul 9 hingga 10 malam, pada 29 Oktober lalu sebanyak tujuh premis diserbu.
“Dalam operasi tersebut seramai 72 warga asing dan warga tempatan diperiksa. Seramai 22 lelaki dan 11 wanita warga asing ditahan.
“Ini melibatkan 16 lelaki dan lapan wanita Myanmar, empat lelaki dan tiga wanita Indonesia, seorang lelaki Vietnam dan seorang lelaki Thailand berusia antara 21 hingga 41 tahun,” katanya.
Mohd Darus memberitahu, semua suspek yang diberkas menerusi tiga serbuan itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
Mereka juga disiasat bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih lama iaitu melakukan kesalahan bawah Peraturan 17(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana tidak mematuhi apa-apa arahan yang diendoskan atas pas.
Bagi serbuan pertama di Batu Pahat, dua majikan tempatan yang juga pemilik premis ditahan atas kesalahan Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) selain dua notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan JIM bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette