JOHOR BAHRU – Polis sudah merakam percakapan tiga saksi yang dipercayai terbabit dalam penganjuran sebuah acara keagamaan yang tular kerana mengibarkan bendera China baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya juga sudah memanggil pulang penganjur acara yang difahamkan kini berada di Bangkok, Thailand untuk membantu siasatan.
“Kita sudah rakam percakapan tiga saksi bagi membantu siasatan dan saya akan ulas lanjut hanya selepas kita dapat merakam percakapan penganjur acara ini.
“Difahamkan, penganjur kini ada di Bangkok dan kita sudah berhubung dan minta balik segera supaya kita dapat rakam percakapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka sempena Perayaan Deepavali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Kumar berkata, pihaknya membuka kertas siasatan selepas menerima laporan dibuat polis susulan penularan gambar dan video insiden itu, Isnin lalu.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati acara berkenaan berlangsung di sebuah pusat beli-belah di Taman Sentosa di sini, pada 20 Oktober lalu.
Beliau memberitahu, pengibaran bendera itu berlaku dalam bangunan pusat beli-belah itu dan bukan dalam perarakan di jalan raya.
“Penganjuran acara ini tidak perlu permit polis, tetapi sudah mendapat kebenaran majlis (pihak berkuasa tempatan),” katanya.
Katanya lagi, penugasan polis ada ketika itu untuk memantau perjalanan acara.
Ditanya mengenai motif pengibaran bendera negara luar dalam acara itu, Kumar berkata, perkara tersebut masih dalam siasatan.
“Mungkin juga yang terbabit (kibar bendera negara luar) sudah balik ke negara asal. Sehingga kini, siasatan masih dijalankan.
Selepas selesai rakam percakapan semua saksi, kita akan rujuk kertas siasatan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya negeri untuk dapatkan nasihat dan arahan selanjutnya,” katanya.
Tambahnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sementara itu, seramai 1,500 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir rumah terbuka Deepavali IPK Johor itu yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.
Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim berkenan hadir ke majlis itu.
Pada masa sama, Kumar berkata, seramai 1,534 pegawai dan anggota polis ditugaskan dan diatur gerak bagi menjaga keselamatan lalu lintas sepanjang empat hari cuti perayaan Deepavali itu.
“Kita akan lipat gandakan pamantauan di kawasan yang terdapat pergerakan orang balik kampung dan sebagainya memandangkan terdapat 76 permohonan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP),” tambahnya.- MalaysiaGazette