Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa beliau pernah mencadangkan Datuk Seri Najib Razak agar mengambil tindakan terhadap Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Jho Low adalah individu yang dikaitkan sebagai dalang dalam skandal 1MDB.

Khairy berkata, saraanan itu diberikan ketika Najib masih lagi memegang jawatan sebagai seorang perdana menteri.

Menurut Khairy, langkah itu dapat memberi ruang kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu membuat kenyataan beliau diperdaya seperti yang dibuat dalam permohonan maafnya baru-baru ini.

Namun dakwanya, Najib enggan membuat sebegitu kerana Jho Low merupakan seorang ahli perniagaan yang sah dan berjaya.

“Tetapi tidak lama selepas itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu memegang jawatan sebagai timbalan perdana menteri dan Menteri Pembangunan Luar Bandar pada waktu itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah dipecat,” katanya menerusi podcast Keluar Sekejap, semalam.

Khairy berkata, arahan juga telah diberikan kepada anggota Jemaah Menteri supaya tiada lagi perbincangan berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Kesemuanya akan diuruskan sendiri oleh Najib sebagai seorang perdana menteri dan menteri kewangan.

“Selain Muhyiddin, Mohd Shafie, dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, beberapa menteri lain juga sering mempersoalkan Najib mengenai kes ini.

“Kalau kita hendak terima permohonan maaf pada nilai muka apa yang Najib kata bahawa beliau terpedaya. Maka kita berbalik semula kepada apa yang dikatakan oleh bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua melalui hantarannya.

“Apabila isu ini didedahkan, kenapa dia tidak ambil langkah yang lain sebaliknya memecat timbalan perdana menteri, menteri, peguam negara atau ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?.

“Hal ini dianggap tidak selari dengan tindakan seseorang yang telah diperdaya,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here