Gambar hiasan Jabatan Imigresen Malaysia. Foto AIZAT ZAINAL, 09 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Seramai empat wanita India dan seorang wanita Indonesia disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa diselamatkan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Klang, kelmarin.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi kenyataan memaklumkan, serbuan dilakukan selepas menerima maklumat berlaku eksploitasi terhadap kesemua mereka yang berusia 32 hingga 47 tahun oleh ejen pembantu rumah tidak berlesen.

Katanya, siasatan awal mendapati ejen itu dipercayai dalang aktiviti pemerdagangan manusia yang menjadikan premis berkenaan sebagai rumah transit sebelum mangsa dibekalkan kepada majikan.

“Modus operandi ejen adalah dengan membawa masuk warga dari India, Sri Lanka dan Indonesia serta dijanjikan pekerjaan dengan kos perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh ejen supaya mangsa terikat dan perlu membayar semula kos perbelanjaan serta tambahan bayaran perkhidmatan lain melalui potongan gaji,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ketika pemeriksaan, kesemua wanita warga India itu disembunyikan di dalam tandas dan dipercayai tinggal di rumah itu selama hampir tiga minggu sementara menunggu dibekalkan kepada majikan yang baharu.

Turut ditemui pasport milik individu lain di salah sebuah bilik di rumah berkenaan.

Tambahnya, hasil temu bual terhadap kesemua mangsa, didapati mereka dijanjikan gaji sebanyak RM1,300 ke RM1,500 sebulan dan gaji itu akan dipotong bagi urusan pas kerja.

“Kebanyakan mereka telah bekerja di Malaysia sejak dua tahun lalu dan masih belum mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah mahupun kontrak kerja seperti dijanjikan,” ujarnya.

Katanya lagi, operasi tersebut turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang 2.0.

Siasatan dilakukan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670), manakala seorang ahli keluarga kepada ejen haram itu sudah dipanggil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast