IBARAT bom jangka, krisis di Asia Barat ketika ini hanya menunggu masa untuk merebak menjadi perang yang lebih parah.
Keghairahan rejim zionis Israel yang disokong negara sekutu khususnya Amerika Syarikat (AS) untuk menjarah lebih luas tanah jajahan dan menonjolkan kekuatan ketenteraan seolah-olah tidak terbendung.
Menanggapi perkembangan terkini di Asia Barat itu, pemerhati politik antarabangsa, Muhammad Ehsan Shaari berkongsi pandangannya dengan MalaysiaGazette.
Antara yang dikupas oleh Pegawai Penyelidik, Yayasan Kedah Sejahtera itu termasuk sejauh mana negara-negara sasaran Israel bersedia dengan ancaman rejim Zionis tersebut serta peranan yang boleh dimainkan badan antarabangsa untuk meredakan ketegangan di rantau tersebut.
MalaysiaGazette: Apa yang boleh dijangkakan dalam perkembangan terkini krisis di Asia Barat?
Muhammad Ehsan: Ketegangan antara Israel dan Iran kini mencapai tahap baharu selepas Israel melancarkan serangan udara terhadap sasaran ketenteraan di Iran.
Serangan yang melibatkan kilang peluru berpandu berhampiran Tehran ini dipercayai sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu Iran pada 1 Oktober lalu.
Tindakan tegas ini menandakan kesungguhan Israel dalam mempertahankan keselamatan negara, di samping menghantar amaran kepada Iran dan negara-negara serantau.
Walaupun sasaran serangan ini tertumpu pada infrastruktur ketenteraan, AS sebagai sekutu utama Israel, menasihatkan agar serangan tidak melibatkan tapak tenaga atau nuklear yang sensitif di Iran.
Presiden AS, Joe Biden dan Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin menyeru agar ketegangan dikurangkan untuk mengelak konflik besar-besaran yang boleh mengancam kestabilan Asia Barat.
AS juga mengingatkan Iran agar tidak bertindak balas dan Austin menekankan kepentingan diplomasi sebagai langkah terbaik dalam menangani ketegangan, khususnya di Gaza dan Lubnan.
Serangan Israel terhadap Iran bukan sahaja memperlihatkan pendekatan ketenteraan Israel yang agresif tetapi juga mengundang risiko ketidakstabilan besar di Asia Barat.
Iran, yang terkesan dengan tindakan ini, berhak untuk mempertahankan kedaulatannya daripada sebarang bentuk pencerobohan yang melanggar undang-undang antarabangsa.
Sebagai sebuah negara berdaulat, Iran berhak mendapat sokongan diplomatik bagi mempertahankan integritinya.
MalaysiaGazette: Apa yang boleh dijangkakan daripada siri berbalas serangan antara Israel dan Iran ketika ini?
Muhammad Ehsan: Serangan ini turut membangkitkan kebimbangan dalam kalangan negara-negara Arab yang berada di antara Israel dan Iran, seperti Jordan dan Arab Saudi.
Negara-negara ini enggan memberi ruang udara mereka digunakan dalam operasi ketenteraan Israel bagi mengelak risiko serangan balas oleh Iran.
Arab Saudi bahkan mengutuk tindakan Israel sebagai satu bentuk pencabulan kedaulatan Iran, memandangkan Arab Saudi baru-baru ini cuba memperbaiki hubungan dengan Iran selepas persaingan berpuluh tahun di rantau tersebut.
Situasi ini menggambarkan kebimbangan negara serantau terhadap kemungkinan konflik yang lebih luas dan kesan negatif kepada kestabilan rantau tersebut.
MalaysiaGazette: Apa peranan yang boleh dimainkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam konflik di Asia Barat?
Muhammad Ehsan: Dalam menghadapi ancaman konflik terbuka ini, PBB perlu segera memainkan peranan bagi meredakan situasi dan mengelakkan kesan yang lebih buruk.
Bagi PBB, satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan perlu diadakan untuk membincangkan krisis ini secara menyeluruh. Langkah ini termasuk perlu melantik seorang duta khas sebagai pengantara untuk memulakan dialog terbuka antara Israel dan Iran.
Dengan adanya duta khas ini, kedua-dua pihak dapat mengadakan perbincangan melalui saluran diplomatik, yang diharapkan dapat mencegah peningkatan ketegangan.
Di samping itu, Majlis Keselamatan perlu mempertimbangkan satu resolusi yang mengecam sebarang tindakan pencabulan kedaulatan negara, yang boleh mengancam keselamatan serantau.
Resolusi ini penting untuk menghantar mesej tegas kepada kedua-dua pihak agar menahan diri daripada sebarang tindakan ketenteraan yang boleh mengheret rantau ini ke kancah konflik lebih besar.
Selain itu, PBB juga perlu meningkatkan bantuan kemanusiaan di kawasan yang terjejas seperti Gaza dan Lubnan, bagi memastikan kebajikan orang awam terjaga.
Bantuan asas seperti perubatan dan makanan perlu disalurkan agar penderitaan akibat peperangan ini dapat dikurangkan.
MalaysiaGazette: Bagaimana pul dengan peranan yang boleh dimainkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)?
Muhammad Ehsan: OIC sebagai badan dunia Islam juga mempunyai peranan yang signifikan dalam menangani krisis ini.
Dengan mengadakan pertemuan tergempar dalam kalangan negara anggota, OIC boleh menyatukan suara negara Islam untuk menyeru bagi mengurangkan ketegangan antara Israel dan Iran, dan dalam masa yang sama mengecam keras Israel yang banyak melakukan tindakan yang melanggar hak asasi manusia.
Suara diplomatik yang bersatu dan kecaman ini dapat memberi tekanan kepada Israel untuk mencari penyelesaian melalui rundingan.
Selain itu, OIC juga boleh mengusulkan agar negara-negara anggota membatalkan sebarang bentuk penjualan senjata atau sokongan ketenteraan kepada mana-mana pihak dalam konflik ini seperti yang telah dilakukan oleh Perancis.
Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan akses kepada senjata yang boleh meningkatkan ketegangan.
Dalam masa yang sama, OIC juga perlu memainkan peranan dalam memberikan tekanan diplomatik kepada kuasa besar seperti AS dan Arab Saudi dan menggesa mereka untuk mendukung usaha damai dan penyelesaian konflik melalui rundingan.
Dengan penglibatan kuasa besar ini, diharapkan konflik dapat dikurangkan, sekali gus mengelakkan sebarang konflik terbuka yang boleh menggugat kestabilan global.
MalaysiaGazette: Bagaimana dengan dakwaan PBB dan OIC sebenarnya tidak mempunyai suara untuk mempengaruhi krisis di Asia Barat?
Muhammad Ehsan: Dalam konteks ketika ini, peranan segera oleh PBB dan OIC sebenarnya menjadi semakin penting untuk meredakan krisis ini.
Sebagai badan antarabangsa yang memperjuangkan keamanan, PBB dan OIC perlu menggerakkan usaha diplomasi secara bersepadu untuk memastikan Iran tidak terus ditekan oleh tindakan agresif yang boleh mencetuskan konflik lebih besar.
Keseimbangan antara hak Iran mempertahankan diri dan sokongan diplomatik untuk kestabilan serantau adalah penting bagi mengelak sebarang konflik terbuka yang bukan sahaja menjejaskan rantau Asia Barat, tetapi juga keamanan global. – MalaysiaGazette