BUKIT MERTAJAM – Bayi lelaki berusia lima bulan memerlukan dana RM67,000 daripada orang ramai bagi membiayai pembedahan susulan mengalami kecacatan jantung kongenital.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Nadhif Idlan Mohamad Iskandar, dari Kuala Kurau, Perak itu perlu menjalani pembedahan dengan segera demi menyelamatkan nyawanya.
Kata beliau, Nadhif Idlan kini bergantung alat bantuan oksigen di hospital kerana sukar bernafas sendiri selain mengalami sianosis atau jari kebiruan.
“Masalah itu dikesan ketika dia berusia empat bulan apabila doktor mendapati bayi tersebut mengalami kecacatan septum atrium (ASD) dan kecacatan septum ventrikel (VSD) semasa pemeriksaan lanjut akibat batuk.
“Dadanya akan berlekuk semasa bernafas dan jika alat bantuan oksigen dilepaskan, lekuk akan menjadi lebih dalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, ibu bapa kepada bayi itu hanya mampu membayar RM3,000 bagi pembedahan, namun memerlukan bantuan orang ramai sebanyak RM67,000 untuk kos keseluruhan RM70,000.
“Masing-masing mereka kerja kilang dan ibunya, Nur Nazirah Abdul Samat, 26, terpaksa berhenti kerja demi menjaga anak di hospital.
“Bapanya pula, Mohamad Iskandar Zainol Abidin, 26, hanya berpendapatan sekitar RM1,500 sebulan dan turut menanggung anak lelaki sulung berusia dua tahun.
“Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat membantu, boleh menyalurkan derma menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare bernombor 3193433435 atau layari www.onehopecharity.org,” katanya.
Bagi sebarang pertanyaa lanjut, sila hubungi talian hotline 04 539 9212, 016 419 2192, 019 232 2192, 018 911 4192. – MalaysiaGazette