KUANTAN – Seorang pekerja kilang ais maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar arus dan bertembung dengan sebuah kenderaan lain Jalan Teluk Sisek, di sini dalam kejadian 9.20 pagi tadi.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisoner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa Mohamad Adha Mohammed, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi nahas akibat kecederaan parah.
Bagaimanapun dua pelajar berusia 11 dan 7 tahun yang menjadi penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) hanya alami luka ringan manakala pemandu dan seorang lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
”Mangsa menunggang motosikal Yamaha 135 LC berwarna biru bertembung dengan sebuah Toyota Estima dalam kejadian 9.20 pagi berhampiran dengan kawasan stesen minyak Petron hari ini.
“Siasatan awal dapati, ketika kejadian pemandu kenderaan Estima dari arah Tanjung Lumpur menghala ke arah bandar raya Kuantan. Apabila sampai di tempat kejadian, dia yang sedang bergerak lurus di lorong kiri tiba-tiba ternampak penunggang motosikal bergerak dari arah hadapan secara melawan aliran trafik lalu bertembung dari arah depan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Wan Mohd Zahari, hasil pemeriksaan kedua-dua pemandu mempunyai lesen memandu sah tempoh dan tiada rekod saman lampau.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk untuk dijalankan proses bedah siasat dan mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di sana.
Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette