Lee Lam Thye
Lee Lam Thye.

KUALA LUMPUR – Piawaian keselamatan makanan perlu diperketat bagi melindungi kesihatan awam dan mengekalkan kepercayaan pengguna di negara ini, susulan peningkatan kes keracunan makanan di beberapa kawasan baru-baru ini.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, hukuman yang berat juga perlu dikenakan terhadap mereka yang melanggar piawaian keselamatan makanan sebagai usaha mengukuhkan aspek berkenaan.

“Penguatkuasaan undang-undang keselamatan makanan sedia ada mesti dilaksanakan dengan tegas. Pihak berkuasa perlu mengadakan pemeriksaan dengan lebih kerap dan teliti terhadap premis makanan bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian kebersihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa agar kursus pensijilan keselamatan makanan diwajibkan kepada semua pengendali makanan.

“Semua yang terlibat dalam penyediaan makanan perlu dilatih sepenuhnya dalam amalan pengendalian makanan yang selamat termasuk memahami kebersihan yang betul, menjaga kebersihan di kawasan penyediaan dan mematuhi garis panduan kawalan suhu,” katanya.

Lee berkata, pengusaha makanan perlu dipertanggungjawabkan memantau kesihatan petugas mereka secara berkala serta mendidik pengendali tentang risiko bekerja semasa sakit kerana jangkitan dalam kalangan pengendali makanan boleh merebak dengan cepat kepada pengguna.

Beliau berkata, kempen kesedaran awam mengenai kebersihan makanan adalah penting kerana ia memberi kuasa kepada pengguna untuk membuat pilihan yang berinformasi. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast