Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani 2024 di Sentul Depot, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 31 OKTOBER 2024

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat tanpa mengira kaum mengambil semangat perayaan Deepavali yang disambut hari ini untuk membawa negara ke arah yang lebih gemerlapan.

Ujar Perdana Menteri, sambutan Deepavali yang juga sinonim disebut sebagai perayaan cahaya mempunyai sejarah yang cukup bermakna kepada kaum India iaitu menyemarakkan cahaya bagi menggantikan kegelapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani 2024 di Sentul Depot, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 31 OKTOBER 2024

“Sambutan Deepavali ini juga adalah bagi menyatakan hidup ini lebih sekadar untuk makan dan minum, (tetapi) untuk kesejahteraan bersama, meneruskan perjuangan ke arah kebaikan, ke arah keadilan dan ke arah masa depan yang lebih baik.

“Mudah-mudahan semangat Deepavali ini memberikan ruang kita khususnya penganut agama Hindu dan rakan-rakan lain (rakyat agama dan kaum lain) untuk bersama-sama membawa Malaysia ke arah cahaya yang lebih bergemerlapan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2024 di Sentul Depot, di sini hari ini, yang dihadiri lebih 10,000 rakyat pelbagai kaum dan latar belakang.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta barisan Jemaah Menteri yang lain.

Selain disajikan dengan pelbagai juadah khusus sempena sambutan Deepavali, majlis itu turut diserikan dengan persembahan beberapa artis terkemuka tanah air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast