Tian Soon meninjau kaunter pandu lalu untuk pengambilan ubat di kauner farmasi HSA, Johor Bahru, semalam

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri memperuntukkan RM900,000 pada tahun ini untuk melaksanakan program penghantaran ubat percuma melalui pos.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, usaha itu bagi memudahkan pesakit dan mengurangkan kesesakan di hospital serta klinik.

“Oleh itu, kami menggalakkan orang ramai untuk menggunakan kaedah pengambilan ubat ini. Selain mengurangkan kesesakan, ia juga dapat menjimatkan masa mereka,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini mempunyai bilangan pesakit paling tinggi.

Katanya, dalam program tersebut HSA perlu menghantar sekitar 4,100 hingga 4,300 pesanan ubat setiap bulan dan jumlah itu terus meningkat.

Klinik Pakar HSA pula katanya, menerima kira-kira 2,000 pesakit setiap hari yang datang untuk berjumpa doktor atau mengambil ubat.

“Selalunya, pesakit perlu menunggu antara 2 hingga 4 jam untuk menyelesaikan proses tersebut. Oleh itu, hospital sedang mencari cara untuk emperbaiki situasi ini,

“Ini termasuk menggalakkan pesakit yang mengambil ubat secara berkala untuk menggunakan perkhidmatan penghantaran ubat melalui pos,” ujarnya.

Jelasanya, jika pesakit layak untuk program tersebut, Jabatan Farmasi akan mencadangkan mereka untuk mendaftar.

Setelah berjaya mendaftar katanya, pesakit hanya perlu menunggu di rumah untuk menerima ubat mereka, yang kini dibiayai oleh kerajaan negeri.

“Selain penghantaran pos, Jabatan Farmasi melaksanakan perkhidmatan ambil ubat secara pandu lalu yang sangat popular dengan lebih 240 pesakit menggunakan perkhidmatan ini setiap hari,” katanya.

Menurut beliau, Jabatan Farmasi juga menyediakan perkhidmatan loker penyimpanan ubat yang diletakkan di pusat beli-belah.

Pesakit boleh mendaftar dengan Jabatan Farmasi dan kemudian mengambil ubat mereka dari loker yang telah ditetapkan tanpa perlu datang ke hospital atau klinik, katanya.

Dalam perkembangan lain, HSA, Hospital Sultan Ismail (HSI), Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang dan Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat kini secara rasmi menyediakan perkhidmatan sambungan internet percuma (WiFi) untuk orang ramai.

Jelasnya, pengunjung hanya perlu mengaktifkan pencarian rangkaian di telefon bimbit mereka dan mencari sambungan WiFi Maju Johor untuk menggunakannya.

“Inisiatif ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri Johor dalam meningkatkan perkhidmatan hospital, supaya pengunjung dapat menggunakan internet percuma sementara menunggu giliran,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here