Gambar Hiasan

KUANTAN – Polis Pahang menerima laporan tiga kes melibatkan tawaran tender palsu yang mengakibatkan semua mangsa mengalami kerugian RM304,250.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, ketiga-tiga mangsa telah diperdaya oleh suspek melalui panggilan telefon dengan penawaran tender atau projek kerajaan tidak wujud dari pihak bomba dan penguasa berkuasa tempatan.

Menurutnya, kes pertama melibatkan mangsa seorang lelaki berumur 29 tahun yang bekerja sebagai peniaga tayar yang telah menerima panggilan daripada seorang wanita menyamar sebagai Pengurus Tender di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

”Suspek menawarkan tender pembekalan tayar dan stesen jana kuasa bagi Balai Bomba Daerah Mentakab.

”Pengadu yang terpedaya telah membuat lima transaksi ke satu akaun syarikat berjumlah RM169,500 sebelum menyedari tiada tender seumpamanya wujud selepas membuat semakan di Ibu Pejabat JBPM Pahang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kes kedua pula melibatkan mangsa seorang peniaga kedai tayar berumur 29 tahun,  mendakwa menerima panggilan mendakwa dari Pegawai Bomba Daerah Mentakab yang menawarkan projek pembekalan alat ganti dan aksesori kenderaan bernilai RM150,000.

Mangsa kemudian membuat pembayaran sebanyak RM84,750 ke dalam tiga akaun berbeza yang disyorkan oleh suspek.

Dia mendapati tawaran tersebut adalah palsu selepas membuat semakan dengan pihak bomba.

Kes ketiga pula membabitkan mangsa seorang lelaki  berumur 55 tahun yang merupakan seorang kontraktor bangunan.

Dia telah menerima panggilan dari seorang individu mendakwa sebagai pegawai dari Majlis Perbandaran Bentong.

”Suspek menawarkan projek pembekalan Ecoflow Power Station bernilai RM94,000.

”Mangsa telah membuat pembayaran RM50,000 ke satu akaun, sebelum menyedari membuat semakan dengan Majlis Perbandaran Bentong,” tambahnya.

Pihak polis menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan menyemak kesahihan tawaran projek atau tender yang diterima melalui panggilan telefon, terutamanya yang melibatkan pembayaran awal. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here