KUALA LUMPUR – Tindakan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin yang meminta Mufti Wilayah Persekutuan dan Menteri Agama ditukarkan semata-mata kerana pendiriannya berbeza mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan tidak wajar dan tidak berasas sama sekali.
Majlis Akademik Islami Pertubuhan Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI) menyifatkan tindakan Abu Hafiz itu sebagai tidak menghormati undang-undang kerana telah mencabar kuasa lantikan Yang Di-Pertuan Agong yang berkenan dengan lantikan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah. dan Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Malah, katanya, sikap mendesak mana-mana pihak yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk meletakkan jawatan semata-mata didorong oleh perbezaan pandangan dan pendekatan bukan suatu amalan yang sihat dan profesional dalam pengurusan dan kepemimpinan organisasi melainkan ia melibatkan isu pelanggaran tatakelola atau terbukti tidak kompeten.
Dakwanya, Abu Hafiz yang terus menerus gagal memahami peranan RUU tersebut sehingga membuat dakwaan yang tidak berasas dan di luar konteks RUU Mufti Wilayah.
Ini kerana RUU tersebut tidak berkaitan dengan menghukum mana-mana pihak sama ada benar atau sesat apatah lagi mengkafirkan orang Islam yang lain seperti Wahabi dan Daesh.
Faktanya, pindaan RUU Mufti Wilayah Persekutuan dilakukan berdasarkan lunas undang-undang sedia ada, menurut kenyataan Islami.
Jelasnya, sebagai kakitangan kerajaan, Abu Hafiz bertindak tidak wajar seolah-olah merasa diri beliau kebal dan dikecualikan daripada etika penjawat awam.
Majlis Akademik Islami itu juga menjelaskan, peranan mufti bukan sahaja memberi pencerahan hukum dan penentuan fatwa kepada masyarakat namun seorang mufti juga berperanan menjaga akidah umat Islam di negeri/wilayah masing-masing.
Untuk memastikan akidah umat Islam bersih dan selamat, sudah pasti mufti tersebut seorang yang berpegang kepada aliran yang tidak menyimpang dan mengikut manhaj yang benar.
“Tafsiran Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) dengan Al-Asya’irah dan Al-Maturidiah sebenarnya telah mencakupi aliran Ahlul Hadith/ Athariah kerana metod salaf terhadap ayat-ayat dan hadis-hadis sifat diiktiraf oleh ulama Asyairah iaitu Ithbat Lafaz dan Tafwid Makna serta metod yang diguna pakai oleh golongan Fudala’ Hanabilah dalam isu tersebut.
“Sebagai tambahan, manhaj yang tertolak dan kelihatan cuba untuk menyelinap dan menyamar sebagai ASWJ adalah pendekatan yang digunakan oleh golongan Hasyawiyyah dan Ghulat Hanabilah (yang berbeza dengan Fudhala’ Hanabilah) yang berunsurkan akidah tajsim, tasybih dan takfir (mudah mengkafirkan umat dan ulama Islam dalam perkara khilafiyyah),” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan berkenaan turut disokong oleh Jam’iyyah Nadhlatul Ulama Malaysia (Naam) dan Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja).
Sewajarnya mana-mana pihak segera menghentikan tindakan menghasut dan menanam kebencian umat Islam terhadap kedudukan menteri dan mufti yang bertanggungjawab dan menjaga ketinggian institusi mufti yang perlu dihormati.
“Kembalikan semula sifat tasamuh (berlapang dada) dan adab yang menjadi teras utama dalam membangunkan sebuah masyarakat Madani,” ujarnya. – MalaysiaGazette