Oleh: Dr. Ekram Alias dan Dr. Haniza Hassan
KEKURANGAN kalsium dalam badan akan mengakibatkan osteoporosis dan osteomalacia sekali gus memberi risiko kepatahan atau keretakan tulang. Menurut Dr. Ekram Alias, Pensyarah Kanan di Jabatan Biokimia Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), osteoporosis dan osteomalacia adalah keterbatasan proses mineralisasi tulang.
Kalsium memainkan peranan yang sangat penting untuk proses pengecutan dan pengenduran otot termasuk otot jantung dan otot licin saluran darah, serta proses biokimia dalam tubuh (seperti kawalan hormon dan enzim serta pengisyaratan sel). Ini turut menjelaskan mekanisme bagaimana kalsium secara tidak langsung mempengaruhi kawalan tekanan darah. Proses pembekuan darah pula adalah antara contoh lain pentingnya kalsium yang mencukupi di dalam badan. Kalsium juga amat diperlukan untuk komunikasi antara sel otak dan bahagian badan yang lain.
Osteoporosis adalah penyakit tulang yang berlaku apabila kebanyakan tulang merosot dari segi jisimnya atau badan kurang menghasilkan tulang baharu disebabkan faktor-faktor tertentu. Penyakit ini sering disebut sebagai penyakit senyap kerana tidak menunjukkan tanda-tanda awal yang jelas. Statistik menunjukkan lebih daripada 200 juta individu di seluruh dunia menderita osteoporosis dan antara faktor risiko yang dikenal pasti termasuk umur, jantina, ketinggian, putus haid, penyakit kronik, serta pengambilan ubat-ubatan tertentu secara berpanjangan.
Tulang memainkan peranan penting sebagai rangka asas yang memberi bentuk dan menyokong struktur tubuh badan serta berfungsi melindungi organ-organ penting seperti otak (dilindungi oleh tengkorak), saraf tunjang (di dalam vertebra atau tulang belakang), jantung dan paru-paru (dilindungi oleh tulang rusuk). Selain itu, tulang dan sendi merupakan asas mekanikal penting dalam pergerakan bahagian tubuh seperti tangan dan kaki dan akan terjejas sekiranya berlaku keretakan atau kepatahan.
Risiko dan impak osteoporosis
Sementara itu, Dr. Haniza Hassan, Pensyarah Kanan di Jabatan Anatomi Manusia Fakulti Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, faktor umur dan jantina adalah antara penyebab utama berlakunya osteoporosis. Pertambahan usia meningkatkan risiko osteoporosis selari dengan penurunan penyerapan kalsium
dan vitamin D. Golongan wanita pula lebih berisiko berbanding lelaki, terutama selepas menopaus kerana penurunan paras hormon estrogen.
Ppenyakit kronik seperti diabetes jenis 1 dan jenis 2, hipertensi, dan hiperparatiroidisme boleh mengganggu pembentukan tulang. Begitu juga dengan pengambilan ubat-ubatan dari jenis glukokortikoid, ubat anti-epilepsi, dan kemoterapi boleh menyebabkan kehilangan tulang. Selain itu, gaya hidup seperti kurang aktiviti bersenam, merokok, pengambilan alkohol yang berlebihan, dan pengambilan kalsium dan vitamin D yang tidak mencukupi adalah faktor-faktor yang meningkatkan risiko osteoporosis.
Impak osteoporosis seperti keterbatasan pergerakan fizikal serta impak sosial dan ekonomi seperti ketidakupayaan untuk bekerja dan kebergantungan yang tinggi kepada orang lain sebagai penjaga. Mereka yang mempunyai osteoporosis juga akan mengalami penurunan kualiti hidup kerana kebimbangan terhadap kemungkinan kepatahan tulang, dan kecederaan tulang akan menyebabkan kehilangan kemandirian diri serta keyakinan diri.
Secara tidak langsung, osteoporosis membawa implikasi terhadap kesejahteraan emosi dan psikologi diri dan orang sekeliling serta boleh mengakibatkan kesakitan yang berterusan, terutamanya jika terdapat kecederaan tulang. Oleh itu, rawatan osteoporosis seperti bisphosphonates, denosumab, dan peptida hormon paratiroid
adalah penting untuk mengurangkan impak terhadap kesihatan individu yang mengalami osteoporosis.
Mencegah osteoporosis
Menurut Dr Haniza, untuk mencegah osteoporosis dan memastikan kesihatan tulang yang baik, setiap individu digalakkan mengamalkan gaya hidup sihat dan pemakanan yang seimbang. Antaranya adalah melakukan aktiviti fizikal dan bersukan seperti senaman beban secara berkala untuk menguatkan tulang.
Selain itu, pemakanan yang sihat juga amat penting seperti pengambilan kalsium yang mencukupi melalui produk tenusu, soya, sayur hijau, dan kekacang. Individu juga digalakkan mengamalkan pengambilan suplemen vitamin D dan K untuk penyerapan kalsium yang lebih baik selain pendedahan kepada cahaya matahari sekurang-kurangnya 15 minit sehari.
Dr. Ekram Alias
Pensyarah Kanan
Jabatan Biokimia
Fakulti Perubatan UKM
Dr. Haniza Hassan
Pensyarah Kanan
Jabatan Anatomi Manusia
Fakulti Perubatan UPM