KUALA LUMPUR – Filem komedi seram Don Dukun yang diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama Infinitus Productions dan GSC berjaya mencatat kutipan box office sebanyak RM1 juta pada hari pertama tayangannya termasuk tayangan awal.

Penerbit Eksekutif Don Dukun merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan sambutan memberangsangkan Don Dukun sehingga berjaya meraih kutipan RM1 juta pada hari pertama termasuk tayangan awal ini adalah sesuatu yang sangat mengujakan.

“Kami amat berterima kasih kepada para penonton yang telah memberi sokongan penuh kepada Don Dukun. Ia menjadi inspirasi kepada kami untuk terus mempersembahkan karya-karya berkualiti yang mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Don Dukun diarahkan oleh Waan Hafiz dan membariskan pelakon Zul Ariffin, Ropie, Douglas Lim, Sangeeta Krishnasamy, Marsha Milan, Datuk Yusof Haslam, Putri Qaseh serta penampilan istimewa Sharifah Aryana, Serra Kamal, Sharifah Husna, Rashidi Ishak, Aloy Paradok, Zarina Anjolie, Elly Arifin dan Lousia Chong.

Filem itu mengisahkan Don Arif, seorang ‘dukun Instafamous’ yang bercita-cita menjadi sehebat keturunannya, walaupun terpaksa menggunakan pelbagai gimik dan tipu daya untuk memikat pengikutnya di media sosial.

Namun, impiannya dihalang oleh bapanya sendiri, seorang dukun terhormat yang enggan mengajarnya ilmu keramat warisan keluarga.

Keadaan berubah apabila seorang janda kaya muncul dengan tawaran lumayan untuk memulihkan anak tirinya yang diselubungi gangguan kuasa gelap.

Don Arif mendapati dirinya terjebak dalam persaingan sengit dengan bomoh-bomoh lain yang juga memburu habuan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast