Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Empat anggota polis ditahan di sekitar Setapak, di sini, hari ini berhubung kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia dalam kereta.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 1 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, penangkapan telah dilakukan ke atas empat anggota polis berpangkat konstabel hingga koperal.

“Kesemua suspek berumur di dalam lingkungan 28 hingga 35 tahun.

“Semasa kejadian, polis turut merampas sekeping resit dan seketul logam berwarna kekuningan berat anggaran 11.52 gram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rusdi berkata, siasatan kes akan dibuka semula di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan selepas diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP).

“Susulan daripada siasatan yang dilakukan, pihak polis membuat tangkapan terhadap empat anggota polis berkenaan,” tambahnya.

Permohonan reman dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah pada 31 Oktober lalu dan kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari, sehingga esok.

Polis memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast