KULAI – Seorang wanita kerugian RM510,000 selepas rumahnya di Jalan Sri Putri 12/10, Taman Putri, di sini, terbakar malam kelmarin akibat perbuatan khianat dengan api menggunakan mercun.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tan Seng Lee berkata, mangsa yang berusia 41 tahun membuat laporan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pukul 9.56 malam kejadian.
Beliau berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian berlaku disebabkan perbuatan khianat dengan menggunakan mercun.
“Dalam kejadian ini mangsa telah mengalami kerugian yang dianggarkan berjumlah RM510,000 akibat daripada kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai membuat tangkapan seorang lelaki tempatan, 30, dan seorang lelaki warga asing, 23.
“Pihak polis turut merampas pelbagai jenis mercun. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek warga asing itu positif dadah jenis ganja,” ujarnya.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun.
Seng Lee berkata, suspek juga disiasat bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000.
Tahanan reman ke atas kedua-dua suspek katanya, dikenakan selama enam hari bermula hari ini sehingga 6 November ini bagi membantu siasatan.
“Polis Daerah Kulai menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan tidak bermain mercun yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pihak berkuasa,” katanya.
Tambahnya, tindakan tegas akan diambil bagi memastikan undang-undang dipatuhi dan mana-mana pihak yang dikesan sengaja melanggar undang-undang akan diambil tindakan sewajarnya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penolong Penguasa Bomba Mohd Roizani Rosdi berkata, kebakaran tersebut memusnahkan 70 peratus rumah mangsa.
Mohd Roizani memberitahu, turut musnah dalam kebakaran itu lima buah kereta iaitu sebuah Proton Wira dan Toyota Corolla masing-masing mengalami kerosakan sebanyak 50 peratus.
“Tiga buah kereta lain musnah hampir keseluruhannya. Operasi ini melibatkan 10 anggota dengan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya.- MalaysiaGazette