Pelbagai reaksi oleh masyarakat Orang Asli di Kampung Gadak dekat Muadazam Shah berhubung fungsi dan bantuan yang dihulurkan oleh pihak ORACO dan JAKOA dalam membantu permohonan lesen jual beli hasil kelapa sawit mereka

ROMPIN –  Jabatan Kemajuan Orang Asli  (JAKOA)  Rompin dan Pahang Orang Asli Coperation Sdn. Bhd (ORACO) akan terus bergandingan dalam membantu bagi kepentingan Orang Asli di negeri ini.

Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Rompin, Hamidi Mat Piah berkata, pihaknya tiada halangan memberi kerjasama untuk memudahkan golongan itu menerima pelbagai manfaat bantuan yang disalurkan oleh kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri.

Hamidi Mat Piah

Ujarnya, JOKOA memahami peranan yang dimainkan oleh ORACO dan sekali gus memudahkan pekebun orang asal itu membuat permohonan urusan tanah dan lesen berkaitan urusan jual beli kelapa sawit.

”Bagi urusan perlesenan, surat pengesahan akan dikeluarkan  oleh pihak ORACO dan dihantar semula kepada kami (JAKOA) untuk dibuat permohonan melalui sistem.

”Dua-dua agensi JAKOA dan ORACO memainkan peranan bagi memberi manfaat kepada orang Asli sebenarnya, maka tiada isu jika memahami kedua-duanya.

”Orang Asli di kampung ambilah peluang untuk memperbaharui lesen atau memohon tanah daripada kerajaan dengan bantuan organisasi daripada kerjaaan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Bagi Azhar Tanganu,46, berkata, kini masyarakat orang Asli perlu berfikiran terbuka dengan mengambil tanggungjawab menguruskan tanah dengan betul supaya mempunyai aset pada masa akan datang.

Ujarnya golongan mereka seharusnya mengambil peluang untuk mengusahakan tanah di samping mencari rezeki.

”Permohonan lesen MPOB bermakna sekarang ORACO ingin membantu orang Asli memiliki tanah nanti supaya semua permohonan kami dapat rekod di Pejabat Tanah Daerah.

”Sangkaan kami dulu meleset pasal ORACO, sebelum ini kami sangka tak baik pasal Oraco sebab nak ambil tanah kami, rupanya mereka bantu kami dapatkan tanah kami dan melakukan proses dokumentasi yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diberi taklimat pendaftaran dan memeperbahui lesen menjual dan mengagih buah sawit Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Balai Raya Kampung Gadak di Muadzam Shah pada Rabu.

Senada dengan itu Rafidi Badak berkata, mereka dahulu dimomok dengan perkara tidak tepat sehinggalah diberi penenerangan yang jelas supaya membuat permohonan tanah tanpa sekatan.

Usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri menerusi ORACO sebagai pemudahcara itu lihat sangat membantu kepada mereka di pedalaman dalam membuat urusan permohonan dan pengurusan dokumen.

Bagi Rafidi seharusnya masyarakat kampung perlu memberi fokus utama kepada kebun mereka dalam membangunkan komuniti dengan mencari rezeki dan meningkatkan ekonomi golongan itu.

”Taklimat dari ORACO membantu kepada masyarakat Orang Asli, susah juga nak perbaharui lesen ini kerana banyak benda nak urus.

”Sebelum ini masyarakat OA tak puas hati kerana mereka tak dan tidak diberi penerangan detail dan dengar tanggapan daripada masyarakat di luar banyak negatif, bagi saya kini faham Oraco membantu menguruskan tanah dan dapat bantuan dari kerajaan negeri,” katanya.

Sarimah Ramli, 45, berkata, taklimat yang diberikan memberikan peluang kepada masyarakat Orang Asli dalam mencari peluang membina aset untuk diwarisi keluarga.

”Bila dapat penerangan dari pihak ORACO, sekarang lebih jelas ialah tanggungjawab kita memohon untuk memiliki tanah supaya mendapat hakmilik geran sendri.

”Tanggapan kata ORACO hendak ambil tanah orang Asli memang tidak betul. Sebelum ini kita tidak tahu cara yang betul dan status pemilikan tanah. Terima kasih pihak JAKOA dan ORACO membantu,” jelas Sarimah.

Bagi Yang Beradat Batin Din,47, pihaknya kini dengan tangan terbuka menerima kerjasama dan bantuan yang dihulurkan oleh pihak ORACO dan JAKOA.

”Bekenaan kehadiran ORACO kami sudah memahami hala tuju yang ingin membantu masyarakat orang kampung apabila sudah berdepan dengan Dato Olian.

”Masyarakat kampung OA sudah faham hasrat kerajaan negeri menubuhkan ORACO. Sebelum kami rujuk banyak tempat dan dan sangkut sana sini, nanti rasanya lebih mudah buat pengurusan, jadi orang kampung tahu untuk rujuk permudahkan permohonan kami,” katanya.

Rosalinda Ampang, 26, pula berpendapat sesi penerangan yang dilakukan sedikit sebanyak memecah kebuntuan  dan persepsi mereka apabila keliru dengan fungsi antara kedua-dua badan itu.

Hamidi Mat Piah

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif ORACO, Datuk Muhammad Olian Abdullah berkata, masyarakat orang Asli perlu bertindak cergas dalam menguruskan tanah supaya mendapat keuntungan pada masa depan kelak dengan memiliki geran hak milik sendiri.

”Jika kerajaan mahu ambil balik boleh dibayar dengan nilai tanahnya dan dibayar kepada pemiliknya, namun apa yang dibayar hari ini merujuk hanya kepada berapa pokok yang ditanam kerana tiada geran.

”Apa yang perlu difahami sesiapa sahaja rakyat boleh memohon memiliki tanah tanpa sekatan, jika lebih 100 ekar baru isytihar estet. Kalau lulus tahun ini 3 ekar maka tahun depan boleh mohon lagi,” katanya.

Selain itu Olian turut mengulas agar masyarakat Orang Asli memahami konsep tapping right yang dikenakan oleh kerajaan negeri sebenarnya telah membantu meringankan beban golongan itu.

Tapping Right atau permit untuk kebenaran mengeluarkan hasil daripada kerajaan khususnya kepada Orang Asli yang memiliki kebun sawit.

Ujarnya, jika ada pihak yang mendakwa kerajaan Pahang mahu kutip cukai Orang Asli melalui ORACO maka itu merupakan fitnah dan mereka dinasihati tidak mempercayai isu berkenaan.

”Yang mempunyai kebun kelapa sawit, kalau ikut dasar kerajaan negeri semasa sepokok tidak kurang dari RM12 tapi untuk Orang Asli ini kerajaan negeri melalui Mesyurat Kerajaan Negeri (MMK) telah meluluskan dikenakan kadar tapping right 1 hektar RM130 atau bersamaan RM52.60 bagi ekar.

” Kalau ada 50 pokok kelapa sawit 1 ekar akan jadi sepokok jadi RM0.96 atau RM1. Kalau kita belajar bayar sikit-sikit supaya kemudian hari tanah itu jadi milik kita, bila di pejabat tanah ada rekod nama kita memudahkan lagi.

”Begitu juga isu Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang dikendalikan oleh pihak RISDA, ada tomahan yang mengatakan kalau Orang Asli memohon melalui akuan bersumpah oleh pekebun yang terlibat memudahkan kerajaan negeri untuk mengambil tanah berkenaan adalah fitnah semata-mata,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan:

Olian tak mahu Orang Asli terhegeh-hegeh ketagih hak sendiri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast