KUALA LUMPUR – Berjaya Food Berhad menjelaskan syarikat itu hanya menutup beberapa premis Starbucks secara kekal manakala yang lain adalah ditutup secara sementara waktu untuk menyelaras strategi operasi.
Jurucakap syarikat itu memberitahu China Press, penutupan secara sementara waktu adalah sebahagian daripada usaha untuk menilai operasi premis secara berterusan.
“Yang penting adalah tiada pekerja yang terjejas dalam penutupan secara kekal atau secara sementara waktu ini.
“Ini kerana pekerja berkenaan telah dipindahkan ke cawangan berdekatan dan terus menyediakan perkhidmatan untuk pelanggan,” katanya.
Jurucakap itu berkata, jualan yang dicatatkan Berjaya Food Berhad telah menunjukkan penambahbaikan kebelakangan ini.
“Pelanggan mula menyedari bahawa dakwaan mengenai Starbucks adalah tidak benar dan Starbucks tidak pernah muncul dalam senarai yang dikeluarkan kumpulan Boikot, Penjualan, Sekatan (BDS),” katanya
Jurucakap itu bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah premis yang ditutup dan masa pembukaan semula untuk kedai yang ditutup secara sementara waktu.
Menurut laporan, sekurang-kurangnya 60 premis dilabelkan tutup atau tutup sementara waktu dalam laman web Starbucks.
Sebanyak 39 premis adalah terletak di Lembah Klang manakala yang lain adalah di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak, malahan ada tiga kedai di Borneo.