Tangkap layar Konsert 'Malam Perayaan Patah Hati' yang tular sebelum dihalau pihak berkuasa. Ihsan Foto : Orang awam

KUALA LUMPUR – Konsert Galau bertemakan ‘Malam Perayaan Patah Hati’ yang diadakan di sebuah kafe di Kemaman Terengganu diarahkan bersurai selepas program itu tidak menerima sebarang permit dan kelulusan yang sah.

‘Malam Perayaan Patah Hati’ itu telah disertai lebih kurang 1,500 peserta.

‘Galau’ yang pada asalnya bermaksud kekalutan atau kekeliruan, kini digunakan oleh Generasi Z sebagai perkataan yang bermaksud patah hati atau kecewa.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, pihaknya telah memberikan arahan kepada penganjur program untuk menghentikan konsert dalam serbuan yang dilakukan sekitar pukul 11 malam kelmarin.

“Program itu pada awalnya telah menerima pemantauan awal daripada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan notis larangan berkumpul juga telah ditampal pukul jam 5 petang hari yang sama.

“MPK telah pun memberikan larangan berkumpul kerana program itu tiada kelulusan namun ia tetap diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Hanyan turut memaklumkan pihaknya telah menerima aduan orang ramai mengatakan terdapat bunyi muzik yang kuat serta gangguan lalu lintas di kawasan itu pada pukul 9.20 malam pada hari konsert berlangsung.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kami akan memanggil penganjur program tersebut untuk diambil keterangan.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal memaklumkan kepada pihak polis berhubung aktiviti tersebut,” tambahnya.

Beliau berkata, siasatan di bawah Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 juga turut dijalankan atas kesalahan tiada lesen hiburan.

Pihaknya menyeru mereka yang mempunyai maklumat berhubung konsert itu untuk tampil memberikan Kerjasama dengan pihak polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast