TIMBALAN Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup ketika mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat kali ke-24 Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) Campur Tiga (Mesyuarat The 24th AMAF Plus Three) anjuran Myanmar secara online, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia menyampaikan penghargaan kepada negara Campur Tiga iaitu China, Jepun dan Republik Korea atas komitmen dan sokongan yang diberikan dalam memperkukuhkan rantaian bekalan makanan serantau.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam satu kenyataan memaklumkan, penghargaan turut diberikan atas pelaksanaan program pembangunan kapasiti yang dimanfaatkan oleh 10 negara anggota ASEAN (AMS).

Menurutnya, penghargaan itu dinyatakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup ketika mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat kali ke-24 Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) Campur Tiga (Mesyuarat The 24th AMAF Plus Three) anjuran Myanmar secara online, 25 Oktober lalu.

Tambahnya, menerusi mesyuarat itu, Malaysia juga telah menekankan kepentingan untuk memupuk hubungan yang rapat dalam kalangan komuniti ASEAN, khususnya berkaitan dengan keterjaminan makanan dan bantuan kecemasan semasa krisis.

Selain itu, ujarnya, Malaysia turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong aktiviti ASEAN Plus Three Emergency Rice Reserve (APTERR) bagi memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan ASEAN.

“Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat kali ke-24 AMAF Campur Tiga yang dianjurkan oleh Myanmar secara dalam talian tidak boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan Malaysia  kepada rejim tentera Myanmar sebagai Kerajaan Myanmar yang sah,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, mesyuarat The 24th AMAF Plus Three tersebut turut dihadiri Timor-Leste selaku pemerhati serta wakil Setiausaha Agung ASEAN.

Katanya, mesyuarat itu menyediakan platform untuk memperkukuh kerjasama ASEAN dengan negara Campur Tiga dalam bidang pertanian dan perhutanan, khususnya usaha untuk meningkatkan  kecekapan pengeluaran dan rantaian bekalan makanan, serta membangunkan kepakaran  dan kapasiti modal insan serantau.

Jelasnya, mesyuarat sama turut mengambil maklum status kemajuan pelaksanaan ASEAN Plus Three Cooperation Strategy (APTCS) bagi tempoh 2016-2025.

“APTCS menumpukan kepada usaha dan advokasi berteraskan amalan pertanian mampan antaranya aktiviti untuk mengurangkan penggunaan racun kimia berbahaya  meningkatkan kawalan ke atas penyakit merentasi sempadan serta kecekapan  pengurusan air dan hutan,” ujarnya.

Tambahnya, mesyuarat sama turut mengambil maklum sumbangan beras sebanyak 11,620 tan metrik oleh negara Campur Tiga pada tahun 2024 kepada APTERR.

Jelasnya, sumbangan itu membolehkan AMS menangani situasi kecemasan ketika berhadapan dengan bencana alam, mengukuhkan keterjaminan makanan dan memberi bantuan kemanusiaan yang berkaitan di rantau ASEAN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast