KUALA LUMPUR – Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah bekerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjalankan ujian ketahanan prototaip pagar halangan fizikal gajah di Temerloh, Pahang baru-baru ini.
MRL memberitahu, tindakan itu diambil susulan beberapa hantaran tular di media sosial menunjukkan dua gajah sedang menolak struktur pagar di jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Kami ingin memaklumkan video itu merupakan sebahagian daripada proses ujian ketahanan bagi reka bentuk pagar haiwan liar yang telah dijalankan di kawasan yang dikenal pasti sebagai habitat gajah di daerah Temerloh, Pahang.
“Jajaran ECRL di Hutan Simpan Kemasul, Temerloh, Pahang merentasi beberapa ladang pertanian dan kawasan pinggiran Hutan Simpan Kemasul yang menjadi habitat kumpulan gajah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ini juga bertujuan untuk mengelak konflik manusia-gajah di kawasan itu terutama selepas projek berkenaan siap.
“Ia juga merupakan satu bentuk kawalan mitigasi untuk menghalang gajah masuk ke kawasan landasan kereta api ECRL supaya sebarang kemalangan dapat dielakkan.
“Oleh itu, pihak Perhilitan telah mengesyorkan agar mock-up reka bentuk pagar halangan fizikal dibina di lokasi sebenar bagi menguji ketahanan dan keberkesanan pagar sebelum sebarang keputusan reka bentuk dimuktamadkan.
“Perbincangan susulan atau post-mortem antara pihak ECRL dan Perhilitan juga akan dibuat dalam masa terdekat untuk tindakan seterusnya,” tambahnya.
Sebelum ini, MRL telah memeterai satu perjanjian tambahan pelaksanaan Pelan Pengurusan Hidupan Liar bagi Projek ECRL antara kontraktor utama projek iaitu China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd dan pihak Perhilitan pada 2022 bagi menambah baik kerja-kerja pemuliharaan dan mitigasi hidupan liar di sepanjang jajaran 665 kilometer (km). – MalaysiaGazette