Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Matamin dan Mahfuz pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) digantung berkuatkuasa hari ini sehingga suatu masa ditentukan kelak.

Menurut Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Matamin, tindakan  diambil susulan ketidakharmonian yang berlaku apabila pihak jemaah pengarah NAFAS mengeluarkan kenyataan tanpa merujuk dan membelakangi Pendaftar Pertubuhan Peladang.

“Ini dibuat atas sebab berlaku ketidakharmonian dalam usaha tadbir Pertubuhan Peladang sehingga menjejaskan kepentingan NAFAS debagai badan induk serta anggota peladang keseluruhannya,” katanya ketika sidang media Reformasi Tatakelola NAFAS yang diadakan di Menara LPP hari ini.

Turut hadir Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar.

Jelas Amir, dalam tempoh penggantungan, Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS dan kakitangan pengurusan tidak berkuasa.

Sebaliknya, beliau berkata, Pendaftar Pertubuhan akan melantik individu yang akan menguruskan hal ehwal dan  membuat siasatan terhadap pengurusan tata kelola NAFAS  termasuk rekod kewangannya.

“Mereka ini adalah mana-mana orang yang difikirkan kompeten (berkebolehan) mengurus tadbir pergerakan NAFAS dan soal-soal perniagaan dan keahliannya.

“Pejabat Pendaftar Pertubuhan Peladang akan memantau tindakan-tindakan yang dilaksanakan oleh pentadbir-pentadbir yang akan memfokus kepada pemulihan semula NAFAS selaras memperkasakan semua tata kelola dan tadbir urus untuk kepentingan peladang-peladang.

“Oleh itu, NAFAS masih terus beroperasi seperti biasa dengan kakitangan dan pegawai sedia ada,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Amir berkata, NAFAS dalam tempoh 30 hari bermula hari ini boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Keputusannya muktamad tidak boleh dirayu atau dipersoal di mana-mana mahkamah,” tambahnya.

Sementara itu, ujarnya, tiada tempoh  penggantungan yang ditetapkan untuk NAFAS.

“Pendaftar tidak memikirkan soal tempoh jika isu ini selesai kita akan lepaskan tidak ada tempoh ditetapkan boleh sebulan, dua bulan, tiga bulan mungkin setahun bergantung situasi semasa,” katanya lagi,

Dalam masa yang sama, Amir menafikan penggantungan NAFAS berkaitan dengan isu kartel baja yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu LPP mendakwa keputusan AJP NAFAS yang menggantung pengurus besarnya, Muhammad Faris Arriffin sebagai tidak sah kerana keputusan tersebut sepatutnya dirujuk terlebih dahulu kepada Pendaftar.

Namun lembaga itu berkata, tiada pemakluman daripada Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob mengenai perkara berkenaan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here